[VIDEO] Mindef sedia gerak aset jika banjir serentak PRU15

Onn Hafiz (tiga dari kiri) dan Hishammuddin (tiga dari kanan) ketika penyerahan Notis 5A kepada pasangan suami isteri pada Majlis Penyampaian Hak Milik Felda Bukit Tongkat hari ini. - Foto Bernama
Onn Hafiz (tiga dari kiri) dan Hishammuddin (tiga dari kanan) ketika penyerahan Notis 5A kepada pasangan suami isteri pada Majlis Penyampaian Hak Milik Felda Bukit Tongkat hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KLUANG - Kementerian Pertahanan (Mindef) sentiasa bersiap siaga dan sedia menggerakkan asetnya, sekiranya berlaku bencana banjir serentak dengan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, pihaknya juga akan berbincang dengan pemimpin kerajaan negeri, dan menerima taklimat berhubung kejadian banjir atau bencana yang berlaku di setiap negeri itu.

Beliau berkata, perbincangan telah pun diadakan dengan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi baru-baru ini dan selanjutnya pihaknya akan bertemu Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, dalam masa terdekat.

"Kalau semua memainkan peranan dan bekerja sama rapat, penyelarasan dan koordinasi di antara agensi persekutuan dengan kerajaan negeri, saya rasa tidak ada sebab mana-mana pihak akan rasa terjejas sekiranya air naik (ketika PRU15).

"Saya sudah minta Angkatan Tentera Malaysia (ATM) memikirkan sekiranya banjir berlaku ketika PRU15, mereka perlu lakukan persediaan lebih daripada apa yang mereka laksanakan sebelum ini, insya-Allah masalah (banjir) di Kelantan dahulu itupun kita berjaya hadapinya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Notis 5A kepada 282 keluarga di Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) Bukit Tongkat, yang dirasmikan oleh Onn Hafiz di sini hari ini.

Sementara itu mengenai program berkenaan, Hishammuddin yang juga penyandang Parlimen Sembrong berkata, kerajaan setiasa konsisten memperjuangkan nasib golongan peneroka, terutamanya berhubung isu pemilikan tanah Felda.

"Di Sembrong 96.5 peratus geran telahpun diserahkan, ini mengambil masa bertahun-tahun, bermakna perjuangan kita untuk warga Felda adalah konsisten, termasuk pada masa dan ketika yang kita sendiri tidak memerintah.

Artikel Berkaitan:

"Sebab itu konsistensi dan hubungan talian kerajaan dengan warga peneroka saya harap akan berterusan, dapat dipertahankan dan dididik dan diwariskan kepada generasi pemimpin politik akan datang, yang akhirnya akan mencorak dan mewarnakan masyarakat dan kepimpinan negara,” katanya.

Sementara itu, Ketua Peneroka Felda Bukit Tongkat Mohd Noor Sarugi berkata, menerusi penyerahan geran tersebut, semua peneroka menerima hak milik tanah seluas 10 ekar setiap seorang, selain satu tapak rumah.

Menurut Mohd Noor, kesabaran dalam kalangan mereka menanti selama 35 tahun selepas mula meneroka pada 1979, sebelum keluarga dibawa masuk pada 1987 akhirnya membuahkan hasil.

"Walaupun ada antara penerima merupakan generasi kedua dan ketiga, namun mereka turut bersyukur dengan penyerahan geran ini kerana ia diperolehi hasil titik peluh kedua orang tua mereka,” katanya. - Bernama