Wanita meninggal dunia menang pilihan raya tempatan di India

Pilihan raya tempatan diadakan di negeri Uttar Pradesh, India. - AFP
Pilihan raya tempatan diadakan di negeri Uttar Pradesh, India. - AFP
A
A
A

LUCKNOW - Seorang wanita yang meninggal dunia hampir dua minggu lalu telah memenangi pilihan raya tempatan di India dan penyokongnya berikrar untuk mengekalkan sokongan sebagai memberi penghormatan terakhir kepadanya.

Ashiya Bi dilaporkan memenangi hampir 40 peratus dalam pertandingan untuk merebut kerusi badan sivik perbandaran di negeri Uttar Pradesh.

Bagaimanapun, dia diisytiharkan menang walaupun sesudah kematiannya.

Difahamkan, Bi yang berusia 30 tahun telah jatuh sakit akibat jangkitan paru-paru serta perut dan meninggal dunia.

Suaminya, Muntazim Qureishi memaklumkan kepada pegawai pilihan raya, tetapi pegawai daerah Bhagwan Sharan memberitahu AFP pada Selasa bahawa tiada cara untuk mengeluarkan namanya daripada undi.

"Apabila proses pilihan raya bermula, ia tidak boleh dihentikan atau ditangguhkan," kata Sharan.

Sebelum meninggal dunia, Bi adalah seorang calon yang popular di kalangan pengundi dan ramai memilih mengundinya sebagai tanda hormat dan kagum dengannya.

"Bi mudah berkawan dan orang ramai tidak mahu memungkiri janji dan mereka menyokongnya," kata penduduk tempatan, Mohammad Zakir kepada akhbar Times of India.

Qureishi berkata, Bi berjaya memenangi hati orang ramai dengan 'sikap tenangnya'

"Undian kami sebagai penghormatan akhir kepadanya," kata pengundi, Arif. - AFP