Pembangkang dominasi pilihan raya Thailand

Paetongtarn Shinawatra, Pita Limjaroenrat. - Foto EPA
Paetongtarn Shinawatra, Pita Limjaroenrat. - Foto EPA
A
A
A

BANGKOK - Dua parti pembangkang utama Thailand, Move Forward dan Pheu Thai mendominasi pilihan raya pada Ahad dan kini sedang mengadakan pakatan serta rundingan untuk membentuk kerajaan.

Sebanyak 99 peratus kertas undi selesai dikira, parti prodemokrasi yang popular dalam kalangan pengundi muda, Move Forward, mendahului dengan memenangi 113 kerusi manakala Pheu Thai yang dikaitkan dengan bekas perdana menteri Thailand yang dibuang negeri, Thaksin Shinawatra, memperoleh 111 kerusi, memetik laman sesawang Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Thailand.

Parti Bhumjaithai, yang diketuai oleh Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kesihatan, Anutin Charnvirakul, menduduki tempat ketiga dengan memperoleh 68 kerusi.

Parti Palang Pracharat, parti utama pakatan pemerintah diketuai Timbalan Perdana Menteri, Prawit Wongsuwan, mendapat 39 kerusi manakala Parti United Thai Nation (UTN), yang menamakan Perdana Menteri, Prayuth Chan o-cha sebagai calon Perdana Menteri sekadar memperoleh 23 kerusi sekali gus menduduki tempat kelima.

Sementara itu, Parti Demokrat diketuai Timbalan Perdana Menteri, Jurin Laksanawisit memenangi 22 kerusi.

Pada Ahad, kira-kira 39 juta atau 75.14 peratus daripada 52 juta pengundi menunaikan tanggungjawab mereka memilih 400 wakil dewan perwakilan dan 100 kerusi diperuntukkan berdasarkan perwakilan berkadar.

Berdasarkan data SPR, Parti Move Forward dijangka memenangi 38 kerusi senarai parti, Pheu Thai (29), Bhumjaithai (tiga), Palang Pracharat (dua), United Thai Nation (13) dan Demokrat (tiga).

Bagaimanapun, dua parti pembangkang - Move Forward Party dan Pheu Thai Party berdepan lalaun sukar untuk membentuk kerajaan baharu, berikutan perlembagaan tentera selepas rampasan kuasa 2014.

Di bawah perlembagaan, 250 senator yang dilantik oleh junta mempunyai suara dalam pemilihan perdana menteri dan membentuk kerajaan.

Undian senator tidak pernah berpihak kepada pembangkang. Bagi menjadi perdana menteri Thailand, parti yang memenangi majoriti mesti memperoleh sekurang-kurangnya 376 daripada jumlah 750 undi di parlimen dua dewan.

Pemimpin Parti Move Forward, Pita Limjaroenrat berkata, adalah jelas bahawa parti itu telah mendapat sokongan padu daripada rakyat dan merupakan parti utama dalam pembentukan kerajaan baharu.

"Saya akan menjadi perdana menteri anda, sama ada anda mengundi saya atau tidak, saya akan berkhidmat untuk anda,” menurut ciapannya di Twitter.

Beliau berkata, parti itu akan berbincang dengan Pheu Thai mengenai perjanjian gabungan dan tetap menentang parti yang disokong tentera.

Sementara itu, Paetongtarn Shinawatra, mengucapkan tahniah kepada kejayaan Move Forward dan "gembira untuk mereka".

"Kami bersedia untuk berbincang dengan Parti Move Forward," katanya sambil menambah parti dengan undi terbanyak akan mengetuai gabungan itu.

Pilihan raya itu adalah yang pertama diadakan sejak protes besar-besaran pada 2020 dan kedua sejak rampasan kuasa tentera pada 2014 yang menyaksikan penyingkiran kerajaan dipilih. - Bernama