Pilihan Raya Presiden: 28 Mei penentu Erdogan atau Kilicdaroglu

Erdogan (kanan) mendahului tipis ke atas Kilicdaroglu (kiri). - Foto Agensi
Erdogan (kanan) mendahului tipis ke atas Kilicdaroglu (kiri). - Foto Agensi
A
A
A

ANKARA - Teka-teki siapa bakal menerajui Turkiye masih belum terjawab dan debaran semakin memuncak kerana jawapan mungkin hanya diketahui pada akhir bulan ini.

Hal ini kerana, Ankara akan mengadakan pusingan kedua Pilihan Raya Presiden pada 28 Mei ini selepas tiada calon meraih jumlah 50 peratus undi untuk diisytiharkan sebagai pemenang.

Ketua Majlis Pilihan Raya, Ahmet Yener berkata, Erdogan hanya mendahului tipis ke atas pencabar utamanya, Kemal Kilicdaroglu setelah proses kiraan undi selesai.

Pusingan pertama menyaksikan pemimpin Parti Pembangunan dan Keadilan (AKP) yang telah memegang kuasa selama lebih dua dekad itu memperoleh 49.50 peratus undi manakala Kilicdaroglu yang memimpin Parti Rakyat Republik (CHP) meraih 44.89 peratus undi walaupun sokongan ke atas Erdogan dikatakan telah merosot.

Kilicdaroglu kini berdepan cabaran lebih sukar untuk memenangi pusingan kedua memandangkan Erdogan masih kekal popular.

"Keputusan rasmi pilihan raya umum akan diumumkan pada Jumaat," katanya sambil menambah jumlah rakyat yang keluar mengundi adalah sebanyak 88.92 peratus.

Sementara itu, Kilicdaroglu memberitahu, beliau akur untuk bersaing lagi pada pusingan seterusnya.

"Saya akan terus berjuang hingga ke titik akhir," tegasnya menerusi mesej video yang dikongsi di Twitter.

Pesaingnya, Erdogan juga menghormati keputusan tersebut dan bersedia untuk berentap sekali lagi setelah keputusan pusingan pertama berpihak kepadanya walaupun jumlah undi lebih rendah berbanding sebelum ini.

Dalam perkembangan berkaitan, pemerhati Pertubuhan untuk Keselamatan dan Kerjasama di Eropah (OSCE) mendakwa, Lembaga Pilihan Raya Tinggi Turkiye (YSK) kurang telus dalam pengendalian proses pemilihan pada Ahad selain liputan media yang dikatakan berat sebelah kepada parti pemerintah.

Kumpulan pemerhati antarabangsa itu juga menyenaraikan beberapa kelemahan jelas sepanjang proses pilihan raya itu yang menunjukkan Erdogan dan parti pemerintah meraih 'kelebihan tidak wajar' yang mungkin menyukarkan usaha pembangkang untuk mengambil alih tampuk pemerintahan. - Agensi