Kajian kebolehlaksanaan pilihan raya jawatan Datuk Bandar KL: Apa kata mereka?

CADANGAN mengkaji kebolehlaksanaan mengadakan pilihan raya bagi jawatan Datuk Bandar Kuala Lumpur mencuri tumpuan awam apabila ia diumumkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh.
Beliau berkata, pilihan raya sedemikian dilihat lebih praktikal berbanding memilih ramai ahli majlis bandar raya menerusi pilihan raya kerajaan tempatan.
Jelasnya, struktur pentadbiran sedia ada melibatkan terlalu banyak unit, dengan ibu negara pada masa ini ditadbir secara serentak oleh seorang datuk bandar, ahli-ahli Parlimen serta penasihat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Bagaimanapun, pengumuman kajian kebolehlaksanaan bagi mengadakan pilihan raya Datuk Bandar Kuala Lumpur itu mengundang reaksi khususnya pemimpin politik Melayu Islam.
Dalam suasana kos sara hidup yang kian mencabar dan pelbagai isu bandar masih membelenggu warga Kuala Lumpur, persoalan utama timbul, iaitu adakah pilihan raya Datuk Bandar benar-benar keperluan mendesak atau sekadar eksperimen reformasi?
Lebih penting, bagaimana pula suara rakyat terhadap cadangan yang menyentuh urus tadbir bandar paling strategik di negara ini?
Berisiko dipolitikkan
“Sejujurnya, saya tidak bersetuju dengan cadangan untuk mengadakan pilihan raya bagi jawatan Datuk Bandar Kuala Lumpur kerana pada pandangan saya, ia bukan satu keperluan mendesak ketika ini.
Bagi saya, sistem sedia ada sudah mencukupi dengan adanya Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang berperanan mewakili suara rakyat, termasuk isu berkaitan bandar dan pihak berkuasa tempatan.
Saya bimbang penambahan satu lagi proses pilihan raya hanya akan menambah beban politik kepada rakyat serta membuka ruang kepada politisasi pentadbiran bandar.
Selain itu, jawatan Datuk Bandar dan pihak berkuasa tempatan mempunyai kuasa yang besar, justeru perlu ada garis pemisah yang jelas antara pentadbiran dan kepentingan politik supaya keputusan dibuat benar-benar demi kepentingan rakyat.
Pada masa sama, saya melihat sebarang cadangan reformasi tidak wajar dibuat secara tergesa-gesa kerana ia boleh menimbulkan syak wasangka seolah-olah wujud kepentingan tertentu di sebalik pelaksanaannya.
Bagi saya, fokus utama kerajaan sepatutnya menyelesaikan masalah asas rakyat terlebih dahulu sebelum memperkenalkan sistem baharu yang berpotensi mencetuskan konflik dan ketidakstabilan.” - Pesara, Zulkifli Saad, 62
Ruang perancangan lebih terurus
"Saya setuju pilihan raya Datuk Bandar Kuala Lumpur diadakan kerana ia memberi ruang kepada perancangan bandar yang lebih terurus, telus dan bertanggungjawab.
Apabila Datuk Bandar dipilih oleh rakyat, setiap dasar, pembangunan dan perbelanjaan akan dibuat dengan lebih berhati-hati, bukan sekadar ikut arahan atau kepentingan tertentu.
Kuala Lumpur bukan bandar kecil tetapi ia ibu negara. Jadi sudah sampai masanya rakyat diberi hak untuk memilih pemimpin bandar yang benar-benar faham keperluan warga kota dan berani bertanggungjawab atas setiap keputusan," - Kakitangan swasta, Hiziani Sofya Hasrul Sani, 38
Memperkukuh demokrasi tempatan
"Saya berpandangan cadangan mengadakan pilihan raya bagi jawatan Datuk Bandar Kuala Lumpur wajar dilihat sebagai langkah matang dalam memperkasa demokrasi di peringkat kerajaan tempatan.
Hak memilih pemimpin bandar secara langsung memberi nilai tambah kepada sistem pentadbiran kerana Datuk Bandar akan memperoleh mandat terus daripada rakyat, bukan sekadar lantikan.
Saya juga percaya mekanisme tersebut mampu meningkatkan tahap akauntabiliti dan ketelusan, apabila Datuk Bandar perlu mempertahankan prestasi serta dasar yang dilaksanakan kepada pengundi.
Keadaan itu secara tidak langsung memaksa pentadbiran bandar lebih responsif terhadap keperluan sebenar warga kota.
Dalam konteks kehidupan bandar yang kompleks,saya melihat pemimpin yang dipilih rakyat akan lebih peka terhadap isu harian seperti kos dan bekalan perumahan, kesesakan lalu lintas, sistem pengangkutan awam, kebersihan bandar serta pengurusan penjaja dan peniaga kecil." - Usahawan, Juliza Rosli, 39
Bukan keperluan utama rakyat
“Sejujurnya, saya tidak bersetuju dengan cadangan mengadakan pilihan raya bagi jawatan Datuk Bandar Kuala Lumpur kerana saya melihat ia bukan keperluan utama rakyat.
Walaupun kerajaan menyatakan ia sekadar kajian, saya bimbang jika akhirnya ia terus dilaksanakan tanpa penjelasan yang jelas kepada rakyat.
Selain itu, kita sudah mempunyai Ahli Parlimen dan ADUN untuk menyuarakan isu rakyat, jadi saya tidak nampak keperluan menambah satu lagi proses pilihan raya.
Saya juga bimbang ia akan melibatkan kos yang besar dan membazirkan wang kerajaan, sedangkan banyak lagi keperluan rakyat yang perlu diberi keutamaan.” - Suri rumah, Nur Atikah Abdul Rahim, 47
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

