Litar pintas punca kebakaran di Kampung Cina

Laporan Sinar Harian pada 19 September lalu.
Laporan Sinar Harian pada 19 September lalu.
A
A
A

PERMAISURI - Litar pintas dikenal pasti sebagai punca kebakaran deretan rumah kedai di Kampung Cina, Kuala Terengganu pada September lepas, kata Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu, Md Hilman Abd Rashid.

Beliau berkata, siasatan mendapati masalah pendawaian elektrik yang lama dan usang telah menyebabkan litar pintas seterusnya mengakibatkan kebakaran yang menyebabkan kerugian hampir RM2 juta.

"Ada antara premis disewa dan ada juga milik sendiri, jumlah kerugian RM2 juta manakala harta yang kita berjaya selamatkan dianggarkan RM1.2 juta," katanya ketika ditemui selepas majlis penyampaian hadiah Sultan Mizan Cup di Terengganu International Endurance Park (TIEP) di sini, hari ini.

Beliau berkata, justeru, pihaknya merancang untuk mengadakan taklimat menerusi townhall kepada penduduk Kuala Terengganu dalam masa terdekat bagi menerangkan kepentingan pendawaian baharu terutama di kawasan padat bagi mengelak tragedi tidak diingini daripada berlaku.

Menurutnya, pihak JBPM tidak mempunyai kuasa untuk mengadakan pemeriksaan berkaitan isu pendawaian di premis persendirian, oleh itu orang ramai perlu mempunyai kesedaran sendiri untuk memastikan aspek keselamatan di premis masing-masing.

"Bagi bangunan yang perlu kepada sijil perakuan bomba atau Fire Certificate (FC) atau sijil layak menduduki bangunan (CF), penguat kuasa kita boleh masuk dan periksa.

"Tetapi untuk premis persendirian kita cuma boleh nasihat supaya mereka lebih ambil berat soal keselamatan, sentiasa periksa keadaan pendawaian elektrik di rumah dan jika ada masalah perbaiki dan yang lama perlu diganti," katanya.

Dalam kebakaran kira-kira 8.15 malam pada 19 September lepas, sebanyak 12 bangunan termasuk kedai pakaian, emas dan kedai makan musnah, namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan berlaku. - Bernama

Artikel Berkaitan: