[VIDEO] PRU15: BN Selangor intai peluang menang kerusi Parlimen

Noh
Noh
A
A
A

TANJONG KARANG - [DIKEMAS KINI] BN Selangor mengintai peluang untuk menang di beberapa kerusi Parlimen di negeri itu meskipun terpaksa bergerak solo bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Pengerusi BN Selangor, Tan Sri Noh Omar berkata, peluang itu berdasarkan kepada kajian simulasi yang dijalankan parti itu sebelum ini.

Menurutnya, sekiranya BN mampu mengatasi Parlimen tidak mustahil kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) juga mampu dirampas meskipun pilihan raya tidak diadakan serentak dengan kerajaan Persekutuan.

"Kalau boleh menang peringkat Persekutuan (Parlimen) insya-ALLAH DUN kita menang dapat dipertahankan dan yang tewas kita rampas.

"Kita ada sasaran untuk kerusi Parlimen tetapi tidak boleh diumumkan pada masa ini," katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Perasmian Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Tanjong Karang di Institut Pengurusan Peladang (IPP) Sungai Kajang Tanjong Karang pada Sabtu.

Noh yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi berkata, setakat ini UMNO Selangor bersedia bergerak solo dan berdepan kemungkinan menentang tiga penjuru pada PRU15.

"Saya tidak tahu apa yang akan berlaku pada masa akan datang, tetapi kalau ikut keadaannya UMNO kena bergerak solo," ujar beliau.

Ujar Noh, UMNO Selangor sentiasa akur dan mengikut apa jua arahan parti dari semasa ke semasa.

Artikel Berkaitan:

Ditanya mengenai harapan untuk melihat UMNO dan Pas bersatu menerusi Muafakat Nasional (MN) pada PRU15, Noh memberitahu, jika melihat kepada kenyataan dikeluarkan kedua-dua parti seperti tiada harapan untuk melihat gabungan tersebut.

Bagaimanapun, ujar beliau, dalam senario politik apa jua boleh berlaku dan pastinya jentera UMNO perlu bersiap-sedia.

"Kemungkinan kita akan bertembung tiga penjuru sama seperti PRU14 lalu, tetapi saya yakin kita ada kekuatan dan kelebihan untuk menarik sokongan pengundi," ujar beliau.

Beliau menjelaskan, terdapat tiga kategori bilangan pengundi di Selangor iaitu di bawah 100,000, pengundi pertengahan merangkumi bilangan pengundi bawah 200,000 dan pengundi melebihi 200,000.

"Sebanyak tiga Parlimen mempunyai bilangan pengundi bawah 100,000, enam lagi melebihi 200,000 dan 13 Parlimen lagi bawah 200,000," katanya.

Pada PRU14, BN hanya memenangi dua kerusi Parlimen iaitu Parlimen Tanjong Karang dan Sabak Bernam.

Bagaimanapun, BN tinggal satu kerusi Parlimen berikutan Ahli Parlimen Sabak Bernam, Datuk Mohd Fasiah Mohd Fakeh meninggalkan UMNO dan menyertai Bersatu.

Dalam pada itu, Noh mengingatkan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang supaya tidak menuduh pemimpin UMNO sahaja terlibat rasuah sedangkan ada dalam kalangan parti lain turut terlibat dalam gejala sama.

Menurutnya, soal rasuah hanya melibatkan individu dan tidak seharusnya parti terpalit dengan isu tersebut.

"Kalau dikira soal parti, saya tengok ada juga pemimpin parti lain bukan sahaja terbabit rasuah, malah terlibat dalam kes lain.

"Apa yang penting, siapa terlibat dia kena ikut undang-undang dan peraturan negara kerana kita tidak mencampuri urusan dan proses kehakiman," katanya.

Jelas Noh, Pas diharap berhenti membuat pelbagai tafsiran buruk terhadap UMNO termasuk membangkitkan soal rasuah membabitkan individu dalam parti itu.

"Kalau kita hendak menyalahkan antara parti banyak yang boleh dilakukan, tetapi tidak mahu melihat politik boleh merosakkan hubungan persaudaraan," ujar beliau.

Ujar beliau, UMNO sudah banyak kali 'terasa' dengan Pas yang masih bertegas untuk memastikan parti itu bekerjasama dengan Bersatu bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

"Pas ibarat bertunang dengan UMNO, tetapi kahwin dengan Bersatu. Kita tidak sempat bernikah pun, tetapi diam-diam Pas bernikah dengan janda kita (Bersatu).

"Pas pun ada janda mereka iaitu Amanah (Parti Amanah Negara), jadi kalau hendak kira politik Pas pun kecewa dengan Amanah begitu juga dengan UMNO kecewa dengan Bersatu," jelas beliau.

Sebelum ini, media melaporkan Pas menangguhkan hasrat bekerjasama dengan UMNO bagi membolehkan parti itu menjernihkan kekeruhan yang timbul termasuk dibebani isu rasuah.

Abdul Hadi dilaporkan berkata, Pas memilih untuk bersama PN berbanding menjalin kerjasama dengan BN bagi menghadapi PRU15 disebabkan ada pemimpin parti itu yang rakus mahu memerintah negara, selain adanya penerima rasuah.