PRN Selangor: Tiada parti menang majoriti mudah

PH dan PN mempunyai peluang seimbang dan tiada yang akan mendapat kemenangan dengan majoriti mudah pada PRN Selangor yang dijangka Jun depan. - Gambar hiasan, gambar kecil: Sara
PH dan PN mempunyai peluang seimbang dan tiada yang akan mendapat kemenangan dengan majoriti mudah pada PRN Selangor yang dijangka Jun depan. - Gambar hiasan, gambar kecil: Sara
A
A
A

SHAH ALAM - Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor bakal menyaksikan persaingan sengit antara Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH).

Penganalisis politik dan media sosial Universiti Teknologi MARA, Shah Alam, Profesor Madya Dr Sara Chinnasamy berkata, PH dan PN mempunyai peluang seimbang dan tiada yang akan mendapat kemenangan dengan majoriti mudah.

Menurutnya, potensi pecah undi amat tinggi susulan sokongan orang Melayu terhadap PN selain dipengaruhi isu kos sara hidup dihadapi rakyat pada enam bulan pertama di bawah pemerintahan PH.

"Nak kata PH menang bergaya itu tidak mungkin kerana akan ada saingan hebat dan keputusan bakal menyaksikan kemenangan dengan majoriti tipis antara PH dan PN.

"Bagi pengundi muda, kita lihat akan ada polarisasi undi mengikut kaum. Berdasarkan rekod lalu, pengundi Cina dan India akan memihak PH sementara pengundi Melayu kepada PN," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berkenaan trend sokongan pengundi di Selangor dalam PRN yang dijangka Jun depan.

Ditanya tentang keyakinan Pas mampu menguasai 33 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, beliau berkata, kecenderungan pengundi Melayu memilih PN sangat tinggi.

"Sudah pasti orang Melayu akan berpihak pada PN dan Pas berikutan pola pengundian yang lalu menunjukkan peningkatan sokongan terhadap PN.

"Ini kerana isunya banyak berkait dapat dengan hala tuju parti politik yang menjadi Kerajaan Perpaduan pada hari ini.

"Contohnya UMNO yang lebih 62 tahun menolak DAP dan PH tetapi kini telah bekerjasama. Faktor seperti ini mempengaruhi keyakinan orang Melayu sama ada parti tersebut tetap mempertahankan hak dan kedudukan orang Melayu atau sebaliknya," ujarnya.

Bagaimanapun beliau menjelaskan, pola pengundian di Selangor agak rumit namun yakin undi akan banyak berpecah disebabkan perkembangan politik semasa.