Kekalkan konsep 1 1 untuk menang emas Thailand 2025

Nur Amirull Fakhruddin berjaya mempertahankan pingat emas acara lepas beramai-ramai elit lelaki Kemboja 2023 yang dimenangi semasa Sukan SEA Vietnam 2021.
Nur Amirull Fakhruddin berjaya mempertahankan pingat emas acara lepas beramai-ramai elit lelaki Kemboja 2023 yang dimenangi semasa Sukan SEA Vietnam 2021.
A
A
A

KONSEP 1 1 harus dikekalkan sekiranya skuad lebuhraya Malaysia mahu mengekalkan penguasaan dalam acara lepas beramai-ramai dan kriterium pada temasya Sukan SEA 2025 di Thailand nanti.

Pengurus pasukan, Norazman Datuk Abu Samah menegaskan wakil pelumba Terengganu Cycling Team (TSG) dan Sapura Cycling Team (TSC) mesti dibenarkan berbakti demi negara sekiranya Malaysia mahu memburu lebih banyak emas pada bumi Negara Gajah Putih kelak.

Jurulatih TSG dan Sapura juga harus digandingkan pada temasya Sukan SEA 2025 kerana mereka memiliki kepakaran untuk mencatur strategi pertandingan demi melakar sejarah menang pingat emas acara lepas beramai-ramai untuk kali ketiga berturut-turut sejak 2021.

Beliau yang juga Ahli Jawatankuasa Pengurusan Persekutuan Berbasikal Asean (ACF) menjelaskan kedengaran khabar angin betapa lebih 10 pingat akan dipertandingkan menerusi disiplin lebuhraya pada temasya Sukan SEA 2025.

“Sekiranya benar, ia satu jumlah yang sangat besar. Saya difahamkan akan dipertandingkan beberapa acara baharu seperti ujian masa campuran berpasukan (MTT) iaitu dua pelumba elit lelaki bergandingan dengan dua pelumba elit wanita. Saya faham kenapa Thailand mahukan acara ini.

“Thailand memiliki dua pelumba elit lelaki yang kuat. Thailand juga memiliki barisan pelumba elit wanita yang kuat. Faktor menyebabkan Thailand memperkenalkan acara ujian masa campuran berpasukan,” katanya.

Azman percaya Thailand menyenaraikan acara lepas beramai-ramai, kriterium dan ujian masa perseorangan (ITT) untuk elit lelaki dan wanita.

“Di sini sahaja ada enam pingat emas untuk direbut. Saya percaya akan ada tambahan pingat sekiranya Thailand menyenaraikan emas untuk kategori berpasukan menerusi acara acara lepas beramai-ramai dan kriterium,” katanya.

Beliau yang juga Naib Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) turut mendesak semua pihak khususnya Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Majlis Sukan Negara (MSN) agar segera memulakan latihan pusat.

“Kita tak perlu tunggu sehingga tiga atau empat bulan sebelum bermulanya temasya Sukan Sea 2025. Saya difahamkan lebih 40 pingat emas boleh direbut menerusi disiplin lebuhraya, trek, basikal bukit (MTB) dan BMX.

“Kita perlu manfaatkan peluang ini untuk merebut seberapa banyak pingat emas yang boleh. Bagaimanapun, kita perlu bermula lebih awal. Saya akan mendesak Biro Lebuhraya PKBM segera kemukakan cadangan kepada KBS atau MSN,” katanya.

Skuad lebuhraya Malaysia meraih satu emas satu perak dua gangsa menerusi acara lepas beramai-ramai elit lelaki dan Wanita serta kriterium pada temasya Sukan Sea 2023 yang diadakan di Siam Reap, Kemboja.

Pelumba TSG, Nur Amirull Fakhruddin Mazuki menyelamatkan maruah Malaysia selepas berjaya mempertahankan pingat emas acara lepas beramai-ramai elit lelaki yang dimenangi di Sukan SEA 2021 di Vietnam tahun lalu.