Abdul Hadi dedah punca tangguh kerjasama dengan BN

Abdul Hadi (tengah) dipimpin selepas menyampaikan kuliah duha di Pantai Kelulut di Marang pada Jumaat.
Abdul Hadi (tengah) dipimpin selepas menyampaikan kuliah duha di Pantai Kelulut di Marang pada Jumaat.
A
A
A

MARANG - Pas menangguhkan dahulu kerjasama dengan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kerana masih terdapat 'kekeruhan' dalam parti itu.

Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, antara 'kekeruhan' yang dimaksudkan ialah masih terdapat kes melibatkan penerima rasuah yang belum selesai.

"Kita tahu kes melibatkan penerima rasuah ini ada yang dituduh, tidak salah difitnah dan macam-macam lagi. Tetapi ia masih belum selesai.

"Bukan kita nak bermusuh, tidak. Tetapi kerana ada 'keruh', jadi kita kita tangguhkan dulu kerana mengambil pendekatan untuk menjernihkan keadaan," katanya ketika menyampaikan kuliah duha di Pantai Kelulut di sini pada Jumaat.

Katanya lagi, kekeruhan yang ada di dalam BN juga ditambah oleh sikap tidak sabar dan rakus hendak memerintah.

"Tak selesai masalah tetapi nak memerintah negeri.

"Kita baru tolong (BN). Pas tolong untuk jatuhkan PH. Pas ajak mereka yang keluar dari UMNO bersama-sama membentuk PN dan tumbangkan PH," katanya.

Dalam pada itu, Abdul Hadi turut mendedahkan terdapat banyak pihak yang datang memujuk supaya Pas bergabung dengan BN.

Artikel Berkaitan:

"Ramai yang datang pujuk saya, daripada setinggi-tinggi dan serendah-rendah (jawatan) datang pujuk saya supaya bergabung dengan BN. Tetapi saya kata kita fikir-fikirkan dahulu.

"Kita tidak gopoh. Macam buah durian lah, jangan kait cepat sangat. Kalau kait cepat sangat tak sempat masak lagi dah makan, nanti kembung perut.

"Kita jernihkan keadaan dulu. Kita gabung dengan Perikatan Nasional (PN), tolak yang beri dan terima rasuah. Laksanakan amar makruf nahi mungkar, walaupun ini lebih payah," katanya.

Pada Khamis, Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Pas Pusat memutuskan untuk terus memperkukuh kerjasama dalam Perikatan Nasional (PN) bagi menghadapi PRU15.

Dalam kenyataan rasmi dikeluarkan, Abdul Hadi berkata, parti itu turut mengekalkan pendirian untuk tidak membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan, Terengganu dan Kedah.