Pas, UMNO pilih haluan sendiri

Laporan Sinar Harian pada Khamis.
Laporan Sinar Harian pada Khamis.
A
A
A

TEKA-TEKI mengenai kedudukan gagasan Muafakat Nasional (MN) akhirnya terjawab apabila Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Pas pada Khamis membuat ketetapan untuk terus memperkukuhkan kerjasama dalam Perikatan Nasional (PN) bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Keputusan yang dimaklumkan sendiri oleh Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang sebaik selesai mesyuarat itu jelas menunjukkan bahawa partinya dan UMNO akan memilih haluan sendiri serta tidak akan bekerjasama dalam pilihan raya yang disifatkan terpenting ini.

Menerusi satu kenyataan media, Abdul Hadi berkata, keputusan untuk terus bersama PN adalah atas prinsip penyatuan ummah.

Beberapa jam selepas kenyataan rasmi daripada Pas itu, Barisan Nasional (BN) turut mengumumkan untuk terus bergerak solo dalam PRU15 nanti.

Pengerusinya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, partinya juga sudah menjangkakan keputusan Pas untuk terus bersama PN khususnya Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Perkembangan terbaharu itu mengundang pelbagai reaksi terutama bagi mereka yang mahukan gagasan MN yang terbina dengan 'penuh air mata' pada September 2019 itu dikekalkan, meskipun ramai yang sudah menjangkakan keputusan Pas tersebut.

Antara yang terawal memberi reaksi terhadap keputusan yang dibuat Abdul Hadi itu adalah bekas Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali.

Menerusi hantaran di Facebooknya, Mohd Khairuddin berkata, tiada siapa yang dapat menghalang keputusan yang dibuat oleh pucuk pimpinan tertinggi parti itu.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun mewakili harapan ahli bawahan, beliau masih berharap MN diteruskan melangkaui kerjasama politik pilihan raya.

Apa yang diluahkan Mohd Khairuddin itu mungkin mewakili ribuan ahli Pas yang mahukan supaya penyatuan ummah antara parti yang pernah menjadi seteru kuat itu dikekalkan.

Begitupun, setiap keputusan parti hanya boleh ditentukan melalui jawatankuasa tertinggi mereka dan itulah pilihan yang dibuat Pas.

Suka atau tidak, dalam politik tiada istilah kawan atau musuh yang kekal. Apa sahaja boleh terjadi, walaupun sukar untuk dicapai dek akal.

Sebagai rakyat, pastinya ramai yang ingin melihat kedua-dua parti yang mewakili kumpulan terbesar Melayu dan Islam itu ‘bersatu’ demi untuk kesejahteraan negara.