Qasar solat: Ini bukan ketetapan baharu di Johor - Exco

Mohd Fared
Mohd Fared
A
A
A

JOHOR BAHRU - Ketetapan untuk qasar solat bagi orang yang bermusafir di negeri ini bukan baharu diputuskan tahun ini seperti yang sedang tular ketika ini, kata Exco Hal Ehwal Agama Islam negeri, Mohd Fared Mohd Khaled.

Sebaliknya jelas beliau, ketetapan tersebut sudah diputus dan dilaksanakan pada tahun lalu lagi.

"Saya difahamkan sedang tular pernyataan tentang kadar terkini jarak marhalah bagi membolehkan rukhsah solat dilaksanakan di negeri Johor.

"Suka saya menjelaskan bahawa ketetapan jarak marhalah tersebut telah pun mula dilaksanakan bagi negeri Johor sejak 25 April 2022 lagi berdasarkan Fatwa Negeri Johor. Bermakna ia bukanlah terkini.

"Keputusan ini adalah selaras dengan keputusan yang dibuat pada mesyuarat jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia kali ke-118 bertarikh 16-17 Februari 2021," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata, ketetapan berkenaan diputuskan selepas melihat dan membahaskan dengan teliti daripada setiap sudut.

Berikutan itu katanya, Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor membuat keputusan seperti berikut:

“Adalah ditetapkan bahawa penentuan kadar dua marhalah bagi para musafir untuk menunaikan ibadah solat jamak dan qasar serta hukum-hukum fiqh lain yang memberi keringanan (rukhsah) adalah 81 kilometer," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini tular kenyataan berkenaan fatwa terkini qasar solat di negeri ini sehingga mengelirukan orang ramai yang menyangkakan itu merupakan ketetapan terbaharu kerajaan negeri.