Kerajaan Perpaduan tidak boleh gagal seperti Muafakat Nasional

Ahmad Maslan
Ahmad Maslan
A
A
A

PONTIAN - Kesemua 19 parti gabungan yang membentuk Kerajaan Perpaduan termasuk UMNO dan Barisan Nasional (BN) perlu mempertahankan gabungan berkenaan sehingga Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, kegagalan Piagam Muafakat Nasional (MN) antara UMNO dan Pas sebelum ini seharusnya dijadikan pengajaran agar tidak berulang dalam gabungan Kerajaan Perpaduan.

“MN dimeterai 14 September 2019, sementara Konvensyen Perpaduan pula diadakan 14 Mei lalu yang dihadiri ahli dan pemimpin pelbagai parti seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak yang menunjukkan kepelbagaian bangsa.

“Keadaan ini berbeza dengan MN, di mana hanya dihadiri oleh masyarakat Melayu dan Islam di atas pentas Penyatuan Ummah namun tidak berjaya mencapai matlamat yang diharapkan,” katanya.

Timbalan Menteri Kewangan I itu berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Sambutan Hari Raya Aidilfitri gabungan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Pontian di Dewan UMNO Pontian di sini pada Selasa malam.

Pada Ahad, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah merasmikan Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan yang pertama kali sejak penubuhan Kerajaan Perpaduan enam bulan lalu.

Konvensyen melibatkan hampir 10,000 perwakilan dan penyokong daripada 19 parti yang menyokong Kerajaan Perpaduan diadakan secara serentak dengan Konvensyen Wanita, Pemuda dan Puteri.