Kerjasama MN boleh diteruskan, melangkaui PRU15

Mohd Khairuddin. - Foto Bernama.
Mohd Khairuddin. - Foto Bernama.
A
A
A

SHAH ALAM - Kerjasama UMNO-Pas menerusi Muafakat Nasional (MN) boleh diteruskan melangkaui kerjasama politik pilihan raya meskipun Pas memilih untuk memperkukuh kerjasama dalam Perikatan Nasional (PN).

Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, menerusi MN, ia sebenarnya menjadi platform untuk ahli politik dalam parti-parti Islam itu untuk berpolitik secara matang dan sejahtera.

“Ia menjadi platform untuk ahli politik dalam dua parti Islam terbesar negara berpolitik secara matang, kekal bersaudara, bersaing secara sihat di arena politik pilihan raya dan saling mengukuhkan satu sama lain dalam perkara melibatkan kepentingan Islam dan negara,” kata beliau menerusi hantaran di Facebook pada Rabu.

Khairuddin berkata demikian berikutan keputusan Pas yang menyatakan akan memperkukuh kerjasama dalam PN bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Perkara tersebut diputuskan dalam mesyuarat jawatankuasa parti itu yang diadakan di Pejabat Agung Pas di Kuala Lumpur.

Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, ia dibuat atas pertimbangan dalam prinsip penyatuan ummah.

Pas juga dalam masa yang sama akan memuktamadkan perbincangan dengan PN mengenai soal pembahagian kerusi yang bakal dipertandingkan di peringkat negeri.

Sementara itu, Khairuddin dalam hantaran tersebut berharap semoga kerjasama Pas dan UMNO akan terjalin kembali.

Artikel Berkaitan:

“Apakan daya. Itulah pilihan Pas. Namun, kita tidak berputus asa. Ia harapan ahli bawahan,”ujarnya.