Pas kekal pendirian tidak bubar DUN tiga negeri

Abdul Hadi
Abdul Hadi
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Pas Pusat yang diadakan Khamis telah membuat ketetapan untuk terus memperkukuhkan kerjasama dalam Perikatan Nasional (PN) untuk menghadapi Pilihan Raya Umun ke-15 (PRU15).

Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, parti itu turut mengekalkan pendirian untuk tidak membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan, Terengganu dan Kedah.

Menurutnya, keputusan untuk terus bersama PN adalah atas prinsip penyatuan ummah.

"Pas juga akan memuktamadkan perbincangan kerusi-kerusi di negeri dengan PN.

"Senarai calon daripada negeri perlu diangkat untuk penilaian Majlis Syura Ulama," katanya sebaik sahaja selesai mesyuarat yang diadakan di Ibu Pejabat Pas, Jalan Raja Laut, di sini pada Khamis.

Jawatankuasa Pas Pusat sebelum ini telah mengadakan mesyuarat pada Isnin tetapi tiada keputusan dibuat berikutan Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang berada di luar negara.

Sementara Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memberitahu, parti itu akan bergerak solo pada PRU15 berikutan Pas masih tidak memiliki pendirian tetap dan gagal memenuhi tiga syarat ditetapkan.

Tiga syarat itu ialah Pas perlu keluar daripada PN, memutuskan hubungan politik dengan Bersatu dan mengumumkan secara rasmi bahawa mereka ‘mufarakah’ 100 peratus daripada PN dan Bersatu.

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!