Pasangan kekasih proses, edar dadah diberkas

Yahaya menunjukkan dadah mushrooms yang dirampas pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur pada Khamis.
Yahaya menunjukkan dadah mushrooms yang dirampas pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur pada Khamis.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis berjaya membongkar makmal memproses dadah di sebuah kondominium di Wangsa Maju, susulan penahanan sepasang kekasih dalam Ops Grace pada Selasa.

Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Yahaya Othman berkata, pasangan kekasih berusia 29 dan 30 tahun itu ditahan di lobi kondominium tersebut pada jam 6.50 petang.

"Susulan tangkapan itu, kita merampas dadah jenis mushrooms seberat 57 kilogram, ganja (17.7 gram), serbuk kimia untuk memproses dadah seberat 2.9 kilogram di sebuah unit kondominium itu.

"Kita turut merampas 23 botol cecair vape mengandungi dadah dan pelbagai peralatan serta mesin untuk memproses dadah yang dianggarkan bernilai RM1.5 juta," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur di sini pada Khamis.

Yahaya berkata, suspek lelaki berkelulusan Sarjana Muda Sains Komputer dipercayai membeli dadah mushrooms dari luar negara secara dalam talian melalui 'dark web' dan memprosesnya di kondominium itu.

"Suspek dipercayai mempelajari cara-cara memproses dadah jenis mushrooms untuk dijadikan sebagai rokok dan cecair vape mengandungi dadah juga melalui dalam talian," katanya.

Beliau berkata, pelanggan sekitar Lembah Klang akan mendapatkan dadah tersebut secara terus daripada suspek.

"Selain itu, perkhidmatan kurier juga digunakan suspek untuk menghantar dadah itu kepada pelanggan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Yahaya berkata, dalam kes berasingan, seramai empat lelaki warga tempatan dan seorang wanita warga China disyaki pengedar dadah ditahan dalam Op Paloma di sebuah kondominium di Taman Desa pada hari sama.

"Kita menahan dua lelaki berusia 30 dan 35 tahun dan merampas dadah syabu seberat satu kilogram di dalam sebuah kereta jenis Perodua Myvi pada jam 6 petang," katanya.

Beliau berkata, susulan tangkapan itu, dua lelaki dan seorang wanita berusia 28 hingga 60 tahun ditahan di sebuah unit kondominium sama.

"Kita turut merampas syabu seberat 34 kilogram yang dianggarkan bernilai RM 1.3 juta dalam serbuan tersebut," katanya.

Beliau berkata, kedua-dua sindiket itu dipercayai aktif sejak tiga bulan lalu.

"Kesemua suspek direman tujuh hari bermula Rabu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.