Ketua sindiket, ahli didakwa edar dadah

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

IPOH - Ketua sindiket dadah dan seorang ahlinya didakwa di Mahkamah Majistret di sini pada Jumaat atas pertuduhan mengedar dadah jenis heroin seberat 21 kilogram minggu lepas.

S. Genesan, 39, yang kudung tangan kiri dan R. R Pirapagaran, 39, dituduh bersama-sama mengedar dadah seberat 21,069 gram di sebuah rumah di Jalan Jelapang Bayu 6, Puncak Jelapang di sini kira-kira 9 malam, 16 Mei lepas.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39(B)(2) akta sama yang jika sabit kesalahan boleh dihukum mati atau penjara seumur hidup dan minimum 15 sebatan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nor Syahirah Azahar manakala Genesan diwakili peguam Dayang Nor Emilia Azman Shah dan R Pirapagaran tidak diwakili peguam.

Majistret Jesseca Daimis menetapkan 26 Julai ini untuk sebutan semula kes bagi menunggu serahan laporan kimia. - Bernama