Pasangan kekasih buat aksi 'wheelie' ditahan

Tular aksi 'wheelie' di Jalan Chendor Kuantan menghala ke Kemaman pada Ahad.
Tular aksi 'wheelie' di Jalan Chendor Kuantan menghala ke Kemaman pada Ahad.
A
A
A

KUANTAN - Pasangan kekasih ditahan polis selepas rakaman video mereka yang menunggang motosikal sambil membuat aksi 'wheelie' di Jalan Chendor Kuantan menghala ke Kemaman tular di media sosial pada Ahad.

Kedua- dua remaja yang berusia masing-masing 17 tahun itu ditahan pihak polis di hadapan rumah lelaki terbabit di Kampung Balok di sini pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, penahanan dua remaja itu buat oleh seorang pegawai bersama enam anggota Bahagian Siasatan dan Pencegahan Trafik (BSPT) daerah Kuantan dengan mengesan alamat lengkap pemilik kenderaan dan penunggang motosikal terbabit antara 11.30 pagi hingga 2.30 petang.

"Kita bertindak atas maklumat berkait video tular pada semalam (Ahad) di media sosial twitter “(mynewshub)”.

"Rakaman video tersebut telah menunjukkan aksi seorang penunggang lelaki bersama pembonceng perempuan menaiki sebuah motosikal jenis honda ex-5 warna putih melakukan aksi mengangkat tayar hadapan “wheelie” di jalan Chendor Kuantan menghala ke Kemaman.

"Kita semua tahu aksi aksi tersebut membahayakan diri sendiri dan pengguna jalan raya lain," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Video berdurasi 54 saat itu tular di laman sosial terbabit, selepas pasangan tersebut melakukan aksi wheelie di Jalan Chendor Kuantan menghala ke Kemaman.

Beliau memberitahu kedua-dua suspek dibawa ke Balai Polis Trafik Kuantan dan disiasat di bawah Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Tambahnya, motosikal milik ibu suspek yang dinaiki pasangan terbabit turut dirampas pihak polis.

"Kita juga telah mengeluarkan lima notis saman atas pelbagai kesalahan seperti tidak memiliki lesen, nombor pendaftaran kenderaan dan lain-lain kesalahan," katanya.