Bekas pengarah Jakoa didenda RM5,000 buat tuntutan palsu

Mohd Irwan kelihatan hadir di Mahkamah Sesyen pada Rabu.
Mohd Irwan kelihatan hadir di Mahkamah Sesyen pada Rabu.
A
A
A

SEREMBAN - Dua individu termasuk bekas Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) Negeri Sembilan dan Melaka di denda oleh Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu atas pertuduhan memalsukan dokumen tuntutan majlis makan berjumlah RM13,200 enam tahun lalu.

Hakim, Rushan Lutfi Mohamed menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Mohd Irwan Redzuan Abdullah, 45, dan Haslin Abdul Razak, 47, selepas masing-masing membuat pengakuan bersalah atas pertuduhan dibacakan.

Mohd Irwan yang merupakan bekas pemilik syarikat Salju Asli Enterprise didenda RM8,000 manakala Haslin yang merupakan bekas Pengarah JAKOA Negeri Sembilan dan Melaka dihukum penjara empat bulan serta denda RM5,000.

Jika gagal menjelaskan denda tersebut masing-masing berdepan hukuman penjara lima bulan dan empat bulan.

Mengikut pertuduhan, mereka dengan niat bersama telah menggunakan suatu dokumen sebagai tulen iaitu invois Salju Asli Enterprise nombor SA2016/10 untuk tuntutan perkhidmatan makan dan minum sempena Majlis Ramah Mesra Pengarah Jakoa bersama penduduk Kampung Orang Asli Bukit Payung, Alor Gajah, Melaka.

Kesalahan itu dilakukan di Pejabat Jakoa Negeri Sembilan/Melaka pada 6 Disember 2016.

Berikutan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 465 kanun yang sama.

Peguam, Iszam Ismail yang mewakili Mohd Irwan memohon hukuman ringan atas alasan dia kini hanya bekerja sebagai penoreh getah selepas syarikatnya ditutup dan perlu menyara lima anak berusia empat hingga 22 tahun.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Haslin yang diwakili peguam Abdul Hamid Manon Abdullah juga memohon hukuman yang ringan atas alasan mempunyai empat anak yang masih bersekolah serta menunjukkan prestasi cemerlang sepanjang berkhidmat.

Mahkamah kemudian menetapkan wang RM13,200 milik Kelab Sukan dan Kebajikan Jakoa dilucut hak kepada kerajaan Malaysia melalui Ketua Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).