Syarikat didenda RM100,000 kemuka maklumat palsu bekalan minyak

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

IPOH - Sebuah syarikat pemborong minyak masak didenda RM100,000 oleh Mahkamah Sesyen Teluk Intan setelah didapati bersalah apabila gagal menyelenggara buku stok barangan kawalan dan mengemukakan maklumat palsu.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak, Datuk Kamalludin Ismail berkata, syarikat itu mengaku bersalah terhadap lima pertuduhan selepas dikesan melakukan kesalahan itu ketika Operasi Ayam, Telur dan Minyak Masak (Op ATM) pada 5 Julai tahun lepas.

Beliau berkata, dalam serbuan penguat kuasa KPDN Tapah di premis syarikat itu di Jalan Perdana 7, Pusat Perniagaan Slim Perdana dekat Slim River, syarikat itu didapati gagal menyelenggara buku stok barang kawalan dengan sempurna.

"Siasatan juga mendapati premis itu disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 8 (4) (b) Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana mengemukakan maklumat palsu berhubung dokumen atau invois penjualan minyak masak yang diserahkan kepada penguatkuasa," katanya dalam kenyataan hari ini.

Kamalludin seterusnya meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai aktiviti penyelewengan barang kawalan supaya melaporkan kegiatan ini melalui saluran KPDN iaitu melalui WhatsApp 019-279 4317 / 019-848 8000, portal aduan e-aduan.kpdn.gov.my atau menggunakan aplikasi telefon pintar Ez ADU KPDN termasuk menghantar emel ke e-aduan@kpdn.gov.my serta talian 1-800-886-800. - Bernama