JAIS siasat kumpulan agama didakwa keturunan Nabi

Laporan Sinar Harian pada Ahad. Gambar kecil: Mohd Shahzihan
Laporan Sinar Harian pada Ahad. Gambar kecil: Mohd Shahzihan
A
A
A

SHAH ALAM - Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) akan menyiasat kumpulan agamawan yang didakwa datang daripada keturunan Rasulullah SAW.

Pengarahnya, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad berkata, ia susulan pembatalan majlis agama daripada kumpulan berkenaan di negeri-negeri lain seperti Terengganu, Kelantan, Kedah dan Melaka yang didakwa meragukan.

Bagaimanapun, Mohd Shahzihan berkata, pihaknya tidak boleh menuduh golongan tersebut sewenang-wenangnya kerana ia melibatkan hal berkaitan agama Islam.

"Saya tidak mengatakan kita menghukum mereka salah. Tapi bila negeri-negeri lain membuat tindakan sama (hentikan majlis agama), mesti ada yang tidak kena.

"Jadi bila kita maklum dan mereka pun dapat arahan tersebut daripada pegawai JAIS, kita batalkan dan akan meneliti (latar belakang kumpulan agama).

"Kalau betul (bukan keturunan Rasulullah SAW), mungkin kita akan beri butiran mereka kepada Imigresen dan tidak benarkan mereka masuk (ke dalam Malaysia)," katanya pada Sabtu.

Dalam pada itu, Mohd Shahzihan memaklumkan pihak penganjur majlis agama berkenaan dan pemilik Dewan Raja Muda Musa (DRMM) di sini turut diarahkan untuk membatalkan acara tersebut yang sepatutnya diadakan pada Ahad.

Ujarnya, notis tersebut dikeluarkan pada Khamis kerana permohonan untuk menganjurkan program berkenaan tidak mendapat kebenaran daripada JAIS.

Artikel Berkaitan:

"Arahan dikeluarkan pada Khamis lalu, sebab kita baharu tahu dia (penganjur) tidak mohon (kebenaran anjur program) kepada JAIS.

"Kalau mereka mohon kepada JAIS, biasanya kita akan siasat dulu bagaimana, latar belakang kumpulan (terlebih dahulu) kerana hal-hal agama agama Islam di Selangor di bawah kendalian JAIS," jelasnya.

Baru-baru ini tular kumpulan agama yang datang ke Malaysia dan mendakwa mereka merupakan keturunan daripada susur galur Rasulullah SAW.

Mereka kemudiannya menganjurkan majlis agama di beberapa buah negeri namun terdapat beberapa negeri bertindak membatalkan program tersebut.