Di sebalik Bajet 2023

Tengku Zafrul ketika membentangkan Bajet 2023 pada Jumaat lalu.
Tengku Zafrul ketika membentangkan Bajet 2023 pada Jumaat lalu.
A
A
A

BAJET 2023 yang dibentangkan oleh Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz pada Jumaat lalu menjadi perhatian banyak pihak.

Manakan tidak, bajet berjumlah RM372.3 bilion itu antara yang terbesar dalam sejarah dengan perbezaan RM40.2 bilion berbanding Bajet 2022 dengan jumlah RM332.1 bilion.

Antara yang terdapat dalam bajet bersifat 3R iaitu Responsive (responsif), Responsible (bertanggungjawab) dan Reformist (reformis) itu adalah kenaikan Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) dengan kenaikan sehingga RM2,500 kepada isi rumah yang berpendapatan kurang RM2,500.

Bantuan tersebut dijangka memberi manfaat kepada 8.7 juta penerima melibatkan peruntukan sebanyak RM7.8 bilion.

Bagi golongan ibu yang merupakan isi rumah penerima BKM, mereka juga akan menerima bantuan tunai secara one-off sebanyak RM500 sebagai galakan bagi meningkatkan kadar kelahiran dalam masa sama mengurangkan kanak- kanak bantut.

Sementara itu, hampir satu juta pembayar cukai bakal menerima manfaat apabila kadar cukai pendapatan individu bermastautin dikurangkan dua mata peratus di samping kredit e-dompet sebanyak RM100 kepada kumpulan berpendapatan sederhana (M40) berpendapatan tahunan di bawah RM100,000.

Selain itu, bagi murid sekolah, bantuan sebanyak RM150 disalurkan kepada seluruh pelajar tanpa mengira kelas ekonomi.

Kadar tersebut dinaikkan sebanyak RM50 berbanding RM100 sebelum ini.

Artikel Berkaitan:

Menerusi bajet kali ini penjawat awam boleh dikatakan seperti ‘orang mengantuk yang disorongkan bantal’ apabila bonus dan bantuan sebanyak RM2,500 bakal disalurkan merangkumi bonus, bantuan Aidilfitri dan kenaikan gaji.

Bajet 2023 ini turut membawakan insentif sebanyak RM500 kepada guru KAFA, imam, bilal, siak dan noja masjid.

Bantuan sebanyak RM800 musim tengkujuh diberikan kepada pekebun kecil getah manakala pesawah pula mendapat RM600.

Sebanyak RM50.2 bilion disumbangkan bagi projek MRT3 dengan jajaran sepanjang 50.8 kilometer, Fasa 1 dijangka siap pada tahun 2028 dan Fasa 2 pada 2030.

Masih banyak lagi isi-isi bajet yang dibentangkan ingin diperkatakan namun secara umum perkara tersebut antara yang menjadi bualan hangat bagi seisi masyarakat di negara.

Bagi Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad penyaluran peruntukan sebanyak RM15.1 bilion kepada kementerian itu menerusi bajet tersebut membuktikan keprihatinan kerajaan untuk mengekalkan institusi pengajian tinggi (IPT) sebagai pelaburan terbaik bagi membina masa depan pelajar.

Menurut beliau, dengan peruntukan tersebut, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dapat memfokus bantuan tunai, penyelesaian pinjaman pendidikan dan pembangunan termasuk menaik taraf jaringan digital serta fasiliti di IPT.

Jelasnya, peruntukan RM6.7 bilion terhadap Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) pula dilihat dapat membantu KPT mencapai sasaran sekurang-kurangnya 55 peratus lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) melanjutkan pengajian menjelang 2025.

Bagi sesetengah pihak lain, bajet tersebut dilihat hanya sekadar menyedapkan hati dan halwa telinga rakyat.

Ahli Parlimen Pulai, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, Bajet 2023 diyakini tidak akan dibahaskan dalam sidang Dewan Rakyat minggu hadapan kerana khabar angin yang mendakwa Parlimen akan dibubarkan

Naib Presiden Amanah, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof ketika mengulas mengenai bajet pula menyatakan ia tidak mengandungi inti pati besar dalam menghadapi masalah rasuah di negara ini.

Manakala Ahli Parlimen Kuala Krai, Abdul Latiff Abdul Rahman mengkritik bantuan RM150 kepada pelajar dengan menyatakan ia bersifat pukul rata.

Beliau berpandangan, bantuan itu hanya dilihat lebih membantu isi rumah berpendapatan rendah (B40) dan M40 namun bagi yang berpendapatan tinggi (T20) dilihat tidak memberi apa-apa kesan yang signifikan.

Kesimpulannya, setiap bajet yang dibentangkan tidak terlepas daripada reaksi pro dan kontra pelbagai pihak namun sedikit sebanyak ia diharapkan dapat memberikan nafas baharu kepada rakyat susulan insiden-insiden terdahulu seperti pandemik Covid-19.