Kes sekuriti tanpa lesen: Impak kepada reputasi kewangan Islam

Laporan Sinar Harian pada Isnin.
Laporan Sinar Harian pada Isnin.
A
A
A

PENDAKWAAN terhadap pengasas AUF MBZ Consortium PLT, Datuk Mahadi Badrul Zaman (Mahadi BZ) dan tokoh kewangan Islam, Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar membuka dimensi baharu dalam perbahasan mengenai integriti pasaran modal negara.

Lebih-lebih lagi, kes ini melibatkan figura berprofil tinggi yang mempunyai pengaruh dalam sektor kewangan dan masyarakat.

Kedua-duanya mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas pertuduhan menjalankan atau bersubahat dalam urus niaga sekuriti tanpa lesen yang sah.

Mahadi Badrul Zaman, 43, membuat pengakuan itu selepas semua pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Azrul Darus dan Hakim Norma Ismail.

Mengikut kedua-dua pertuduhan, suami kepada penyanyi dan aktivis, Datin Seri Heliza Helmi itu, sebagai wakil syarikat AUF MBZ Consortium PLT didakwa menjalankan perniagaan sekuriti sedangkan syarikat berkenaan bukan pemegang Lesen Perkhidmatan Pasaran Modal serta tidak berdaftar sebagai perniagaan sekuriti.

Manakala Mohd Daud, 62, yang juga bekas Pengerusi Majlis Penasihat Syariah Bank Negara Malaysia (BNM), membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Norma Ismail.

Mengikut pertuduhan, beliau sebagai wakil Energy Eco Berhad didakwa bersubahat dengan AUF MBZ Consortium PLT yang menjalankan urusan dalam aktiviti terkawal, iaitu berniaga dalam sekuriti.

Secara perundangan, kes ini dijangka melalui beberapa peringkat termasuk pengurusan kes, perbicaraan penuh dan kemungkinan rayuan.

Memandangkan kedua-dua tertuduh menafikan pertuduhan, pihak pendakwa perlu membuktikan elemen utama kesalahan, iaitu wujudnya aktiviti 'berniaga dalam sekuriti' tanpa Lesen Perkhidmatan Pasaran Modal yang sah.

Artikel Berkaitan:

Kes ini juga mungkin mendorong penilaian semula garis panduan atau pengawasan terhadap entiti yang menawarkan produk pelaburan, khususnya yang menggunakan jenama Islam atau rangkaian pengaruh individu berprofil tinggi.

Penambahbaikan kerangka kawal selia boleh mengurangkan ruang manipulasi atau kekaburan undang-undang pada masa hadapan.

Walaupun kedua-duanya masih belum dibuktikan bersalah, proses perbicaraan ini akan menjadi ujian penting terhadap ketegasan undang-undang pasaran modal serta kematangan masyarakat dalam menilai risiko pelaburan.

Dalam jangka pendek, kes ini mungkin menggugat persepsi dan menimbulkan persoalan. Namun dalam jangka panjang, jika ditangani dengan adil dan telus, ia berpotensi memperkukuh asas tadbir urus serta keyakinan terhadap sistem kewangan Malaysia.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!