Apa nasib Bajet 2023 jika Parlimen bubar?

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (kiri) bersama Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz menunjukkan buku Anggaran Perbelanjaan Persekutuan 2023 selepas pembentangan Bajet 2023 di Parlimen, pada Jumaat. - Foto Bernama
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (kiri) bersama Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz menunjukkan buku Anggaran Perbelanjaan Persekutuan 2023 selepas pembentangan Bajet 2023 di Parlimen, pada Jumaat. - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Pada Jumaat, kerajaan telah membentangkan Bajet 2023 yang bertemakan ‘Keluarga Malaysia, Makmur Bersama’ di Parlimen.

Bajet tersebut bersandarkan tiga teras fokus iaitu kesejahteraan rakyat, kelangsungan perniagaan, kemakmuran ekonomi dan kecekapan perkhidmatan kerajaan.

Pengumuman bajet tersebut mendapat perhatian ramai kerana disifatkan sebagai belanjawan paling besar dalam sejarah dengan peruntukan sebanyak RM372.3 bilion oleh kerajaan.

Bagaimanapun, adakah bajet tersebut akan kekal? Nampaknya nasib Bajet 2023 masih lagi tidak menentu berikutan isu pembubaran Parlimen masih hangat diperkatakan pada ketika ini.

Pada 30 Oktober, Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO mencapai ketetapan bahawa pembubaran Parlimen perlu dilakukan dalam masa terdekat bagi membolehkan PRU15 diadakan tahun ini.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, berdasarkan keputusan itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan mempersembahkan tarikh pembubaran kepada Yang di-Pertua Agong selaras Perkara 40(1) Perlembagaan Persekutuan.

Perkara itu membangkitkan kebimbangan kerana berkemungkinan bajet yang dibentangkan oleh Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz itu mungkin akan diubah sekiranya Parlimen dibubarkan.

Pada Jumaat, Ahli Parlimen Pulai, Datuk Seri Salahuddin Ayub turut yakin bahawa Bajet 2023 tidak akan dibahaskan pada sidang Dewan Rakyat pada minggu hadapan.

Artikel Berkaitan:

Salahuddin yang juga Timbalan Presiden Amanah itu menyifatkan bajet tersebut sekadar untuk ‘menyedapkan’ hati dan hawa telinga rakyat.

Ujarnya, pembentangan belanjawan itu tidak bermakna sekiranya Parlimen dibubarkan.

Dalam pada itu, Pensyarah Kanan Sekolah Perniagaan dan Ekonomi Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Muhammad Daaniyall Abd Rahman pada Jumaat berkata, kerajaan perlu memastikan peruntukan yang disalurkan dalam Bajet 2023 dapat dipercepatkan supaya ekonomi negara lebih bersedia untuk menghadapi kemungkinan kemelesetan ekonomi global pada 2023.

Menurutnya, kepantasan agihan peruntukan terutama melibatkan bantuan kepada rakyat dan perniagaan itu sangat penting bagi melindungi ekonomi negara daripada krisis tersebut.

Apa yang pasti, biarpun banyak manfaat ditawarkan oleh rakyat melalui Bajet 2023, namun sudah tentu belanjawan yang baru dibentangkan ini akan menimbul pelbagai reaksi daripada pelbagai pihak berkepentingan khususnya daripada parti politik.

Tuntasnya, politik perlu diketepikan terlebih dahulu, sebaliknya fokus pada agenda untuk rakyat serta masa depan negara dalam mendepani krisis cabaran ekonomi getir pada tahun depan.