'Ringgit jatuh bukan kerana Malaysia tak ada Menteri Kewangan sepenuh masa' - Anwar

Anwar Ibrahim - Foto Bernama
Anwar Ibrahim - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Situasi kejatuhan ringgit adalah disebabkan dasar Amerika Syarikat (AS) bukan kerana Malaysia tidak mempunyai Menteri Kewangan sepenuh masa.

Jelas Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, kekangan antarabangsa turut mempengaruhi kedudukan nilai ringgit.

"Suruh orang yang cadang itu baca laporan ekonomi dan kewangan bukannya laporan Pas," katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis penyerahan kunci Perumahan Penjawat Awam Malaysia (PPAM) Madani Dalur Presint 18, dekat sini pada Khamis.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata demikian mengulas mengenai kenyataan Penolong Setiausaha Agung Pas Pusat, Mohd Syahir Che Sulaiman yang menggambarkan Malaysia memerlukan seorang Menteri Kewangan dan kompeten yang bertugas sepenuh masa dan boleh memberi tumpuan terhadap negara.

Ahli Parlimen Bachok itu berkata, dalam tempoh enam bulan ini, ringgit telah menyusut berbanding Dolar AS dan mata wang lain sehingga mencecah paras RM4.60/USD, dan dijangka boleh mencecah paras RM5.00/USD jika tidak dikawal.

Sebelum ini, Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, kerajaan berharap tekanan terhadap ringgit akan berkurangan sebaik sahaja isu siling hutang AS diselesaikan segera.

Media antarabangsa melaporkan AS sedang bergelut menyelesaikan isu had siling hutang itu secepat mungkin.

Presiden AS Joe Biden juga menyebut bahawa pentadbirannya akan cuba menyelesaikannya sebelum Selasa depan.