273 isu baharu audit, impak kepada keyakinan awam, pelabur

Laporan Ketua Audit Negara 2026.
Laporan Ketua Audit Negara 2026.
A
A
A

PEMBENTANGAN Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 1/2026 di Dewan Rakyat membuka satu lagi episod penting dalam soal perbincangan akauntabiliti kewangan negara.

Pada Isnin, laporan berkenaan mendedahkan berlaku sebanyak 273 isu baharu membabitkan pengurusan kewangan serta tadbir urus di peringkat Persekutuan dan negeri.

Ketua Audit Negara, Datuk Seri Wan Suraya Wan Mohd Radzi berkata, laporan itu yang dibentang selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong terdiri daripada 15 naskhah Penyata Kewangan Agensi Persekutuan 2024 dan aktiviti kementerian, jabatan dan badan berkanun Persekutuan serta pengurusan syarikat kerajaan Persekutuan.

Menurutnya, ia turut melibatkan aktiviti kementerian, jabatan dan agensi negeri serta pengurusan syarikat kerajaan negeri.

LKAN 1/2026 bukan sekadar laporan angka dan statistik, tetapi cerminan tahap disiplin fiskal dan budaya tadbir urus negara.

Walaupun angka 273 isu mungkin tidak menunjukkan berlakunya penyelewengan besar secara menyeluruh, namun ia memberi gambaran besar bahawa kelemahan pengurusan dan tadbir urus masih berulang saban tahun.

Persoalan utama ialah sama ada isu ini bersifat teknikal dan pentadbiran semata-mata, atau mencerminkan kelemahan sistemik dalam budaya akauntabiliti sektor awam.

Jika isu yang sama terus berulang dalam laporan tahunan, sudah tentu ia memberi isyarat bahawa tindakan susulan dan pembetulan belum benar-benar berkesan.

Apakah implikasinya terhadap keyakinan awam dan pelabur? Pertama, ia boleh menimbulkan kebimbangan rakyat terhadap tahap pengurusan wang awam, terutama dalam suasana kos sara hidup yang meningkat dan pengetatan subsidi.

Artikel Berkaitan:

Kedua, dari sudut tadbir urus, ketelusan laporan audit sebenarnya boleh memperkukuh keyakinan pelabur jika tindakan susulan diambil secara tegas.

Sebaliknya, jika tiada tindakan konkrit, reputasi pengurusan fiskal negara boleh terjejas dalam jangka panjang.

Keberkesanan laporan audit akhirnya bergantung kepada tindakan susulan. Jika pembetulan dilakukan secara menyeluruh dan konsisten, ia mampu meningkatkan integriti institusi awam serta keyakinan rakyat dan pelabur.

Namun, jika kelemahan sama terus berulang pada tahun-tahun mendatang, laporan audit berisiko menjadi ritual tahunan tanpa perubahan struktur yang signifikan.

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!