Wanita Terengganu antara 50 individu miliki 'golden blood'

Darah jenis Rh null hanya dimiliki seorang dalam enam juta penduduk dan sehingga kini dipercayai hanya 50 individu sahaja memilikinya di seluruh dunia. Foto hiasan
Darah jenis Rh null hanya dimiliki seorang dalam enam juta penduduk dan sehingga kini dipercayai hanya 50 individu sahaja memilikinya di seluruh dunia. Foto hiasan
A
A
A

BARU-BARU ini, tular seorang wanita dari Terengganu memiliki kumpulan darah paling sukar ditemui di dunia dan menjadi satu-satu pemilik darah jenis Rh null di Malaysia.

Jika kebanyakan orang diklasifikasikan berdasarkan sistem ABO (A, B, AB, O) serta faktor Rhesus (positif atau negatif), darah Rh null pula tidak mempunyai sebarang antigen Rh pada permukaan sel darah merah.

Setakat ini, jumlah individu dikenal pasti memiliki darah ini di seluruh dunia sangat kecil. Justeru, ia digelar 'golden blood' kerana bernilai tinggi dalam bidang perubatan transfusi.

Uniknya, darah jenis itu hanya dimiliki seorang dalam enam juta penduduk dan sehingga kini dipercayai hanya 50 individu sahaja memilikinya di seluruh dunia.

Pemilik darah berusia 29 tahun mengatakan pengesahan jenis kumpulan darah hanya diketahuinya pada 2016 selepas menderma darah.

Memang sukar mempercayai dan menerima hakikat itu pada mulanya kerana satu-satunya individu memiliki kumpulan darah itu di negara ini.

Namun, selepas doktor memberikan penjelasan kepentingan dan keunikan kumpulan darah ini, dia mula reda serta memahami risiko perlu dipikul.

Pada 2024, berlaku kejadian tidak diingini apabila terbabit kemalangan jalan raya. Walaupun dalam keadaan kesakitan tetapi perkara pertama dimaklumkan kepada orang awam (yang datang membantu) ialah keadaan dirinya memiliki darah jarang ditemui.

Maklumat berkenaan penting untuk disampaikan bagi memastikan dia mendapat rawatan tepat. Jujurnya, di sebalik keistimewaan memiliki darah emas ini, dia juga berisiko.

Artikel Berkaitan:

Contohnya apabila berkahwin dan hamil, keadaan juga perlu diuruskan lebih rapi serta pemantauan perubatan teliti.

Sebenarnya, wanita tersebut bukan sekadar kisah unik perubatan, malah membuka perbincangan besar dari sudut sains, kesihatan dan kesedaran masyarakat.

Implikasinya bukan sahaja bersifat klinikal, tetapi strategik kepada sistem kesihatan negara. Pertama, pengesanan darah Rh null memerlukan sistem saringan makmal teliti dan kepakaran khusus. Ini menunjukkan keupayaan diagnostik tempatan berada pada tahap baik.

Kedua, kes sebegini menuntut penyelarasan rapi antara hospital, bank darah dan kementerian bagi memastikan rekod penderma disimpan dengan selamat serta dirahsiakan tetapi pada masa sama boleh diakses segera ketika kecemasan.

Selain itu, aspek kaunseling genetik juga penting. Rh null lazimnya berlaku akibat mewarisi mutasi genetik. Ahli keluarga terdekat wajar menjalani ujian saringan bagi mengenal pasti kemungkinan pembawa sifat sama. Langkah ini sebagai persediaan awal sekiranya berlaku keperluan perubatan pada masa hadapan.

Dari sudut sosial pula, penemuan ini berpotensi meningkatkan kesedaran masyarakat tentang kepentingan menderma darah. Ramai rakyat Malaysia masih melihat pendermaan darah sebagai amalan bermusim misalnya ketika kempen tertentu atau kecemasan besar. Kes Rh null mengingatkan kita bahawa stok darah bukan sekadar soal kuantiti, tetapi juga kepelbagaian jenis darah yang jarang ditemui.

Secara keseluruhannya, pengesanan darah Rh null di Terengganu adalah satu perkembangan signifikan. Ia mencerminkan kemajuan sains perubatan tempatan, menuntut kesiapsiagaan sistem transfusi darah serta membuka ruang pendidikan kesihatan awam yang lebih meluas.

Dalam erti kata lain, 'golden blood' bukan sekadar simbol kelangkaan, tetapi peringatan bahawa setiap titisan darah membawa nilai tidak ternilai — kepada individu, komuniti dan negara.

*Juliana Rosdi ialah Sub Editor Sinar Harian

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!