Ibu tunggal perlu bantuan bekalan elektrik, air

Rumah yang dibina oleh Maik kepada Roslizawati perlu dilengkapi kemudahan elektrik dan air. (Gambar dalam : Roslizawati)
Rumah yang dibina oleh Maik kepada Roslizawati perlu dilengkapi kemudahan elektrik dan air. (Gambar dalam : Roslizawati)
A
A
A

KOTA BHARU - Seorang ibu tunggal yang menyara lapan anak memerlukan bantuan kewangan sebanyak RM2,000 bagi mendapatkan kemudahan bekalan elektrik dan air di rumah baharunya di Kampung Panjang, Banggu di sini.

Wanita itu, Roslizawati Azmi, 38, tidak mempunyai pendapatan tetap dan hanya menerima upah sekitar RM50 setiap kali dia membersihkan rumah pelanggan jika ada yang memerlukan khidmatnya itu.

Dia yang menghidap penyakit talasemia perlu menyara lima anak berusia antara dua sehingga 13 tahun dan tiga anak saudaranya yang yatim piatu berusia tujuh hingga 11 tahun.

Roslizawati (dua kanan) bersama lima anaknya.
Roslizawati (dua kanan) bersama lima anaknya.

Menurutnya, tiga anak saudaranya menjadi yatim piatu selepas kematian ibu mereka akibat kanser saraf dan otak pada tiga tahun lalu manakala bapanya (adik Roslizawati) pula meninggal dunia akibat penyakit tibi September lalu.

“Rumah tiga bilik ini dibina oleh Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik) di atas tanah pusaka arwah bapa, bersebelahan rumah ibu saya dan dijangka siap dua minggu lagi. Buat sementara waktu, kami tinggal dengan ibu bersama dua lagi adik yang salah seorangnya adalah orang kurang upaya (OKU) lembam.

“Ketika ini, saya buntu kerana tidak mempunyai wang yang diperlukan (RM2,000) bagi mendapatkan kemudahan elektrik dan air dari telaga tiub di rumah itu,” katanya ketika ditemui di Kampung Panjang, Banggu, di sini pada Sabtu.

Dalam pada itu, Roslinawati berkata, lima anaknya menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat dengan jumlah keseluruhan RM850 sebulan sejak tiga tahun lalu manakala tiga anak saudaranya menerima RM300 sebulan sejak sebulan lalu.

Artikel Berkaitan:

“Sekarang susah nak dapatkan orang yang hendak upah saya bersihkan rumah, selain itu penyakit talasemia yang dihidapi ini turut menyebabkan saya cepat penat dan tidak dapat bertahan di bawah terik mentari.

“Saya hanya bergantung dengan duit JKM untuk menampung persekolahan anak-anak dan persediaan makan serta minum mereka. Bagaimanapun penghulu kampung ada bagi bantuan beras setiap bulan. Kalau tak cukup, kami makan telur saja,” katanya.

Tiga anak saudara yatim piatu yang dijaga oleh Roslizawati.
Tiga anak saudara yatim piatu yang dijaga oleh Roslizawati.

Dia berkata, penyakit yang dihidapi itu memerlukannya memenuhi janji temu di Hospital Universiti Sains Malaysia (USM) setiap tiga bulan selain anak bongsunya juga menghidap asma.

Bagi mereka yang ingin menghulurkan bantuan boleh salurkan ke akaun Maybank, Roslizawati Azmi 164388761166 atau hubunginya di talian 017-9194638.