Catuan bekalan elektrik di Sabah akibat permintaan tinggi

SESB sedang melaksanakan catuan bekalan elektrik di beberapa daerah di Sabah akibat permintaan tinggi susulan fenomena cuaca panas yang melanda negara ketika ini. - Gambar hiasan
SESB sedang melaksanakan catuan bekalan elektrik di beberapa daerah di Sabah akibat permintaan tinggi susulan fenomena cuaca panas yang melanda negara ketika ini. - Gambar hiasan
A
A
A

KOTA KINABALU - Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) sedang melaksanakan catuan bekalan elektrik di beberapa daerah di Sabah akibat permintaan tinggi susulan fenomena cuaca panas yang melanda negara ketika ini.

SESB menerusi kenyataan pada Selasa memaklumkan catuan bekalan elektrik yang dilaksanakan di beberapa daerah secara bergilir-gilir bertujuan menstabilkan sistem grid elektrik negeri ini dan mengelakkan keseluruhan Sabah mengalami gangguan bekalan.

Menurut SESB secara purata, pemintaan bekalan elektrik pada waktu puncak untuk Sabah adalah sekitar 970 megawatt (MW), bagaimanapun pada 26 April lalu negeri ini telah mencatat permintaan paling tinggi untuk tahun ini iaitu 1,029MW.

"Keadaan cuaca panas yang melanda negara ketika ini secara tidak langsung telah meningkatkan permintaan tertinggi tenaga elektrik. Kapasiti penjanaan tenaga elektrik di Sabah secara amnya boleh menampung jumlah permintaan tersebut.

"Bagaimanapun baru-baru ini terdapat beberapa loji penjanaan telah mengalami masalah di luar jangka menyebabkan loji-loji tersebut tidak dapat menjana tenaga elektrik untuk memenuhi permintaan grid (elektrik) Sabah,” menurutnya.

Menurut kenyataan itu, pada 12 April lalu sebuah stesen janakuasa bebas (IPP) berkapasiti 100MW telah mengalami kerosakan luar jangka menyebabkan SESB melakukan catuan bekalan, sebelum loji itu beroperasi semula setelah kerosakan berjaya dibaiki pada keesokan harinya.

Sementara catuan bekalan antara 40MW hingga 60MW dilakukan pada 27 dan 28 April lalu akibat masalah teknikal luar jangka yang dialami oleh beberapa stesen janakuasa milik SESB dan juga stesen janakuasa bebas hingga kehilangan kapasiti penjanaan hampir 64MW.

Ketua Pegawai Eksekutif SESB, Mohd Yaakob Jaafar dalam kenyataan sama berkata, SESB sedang berbincang dengan Suruhanjaya Tenaga dalam menangani masalah kekurangan rizab bekalan elektrik dengan menambah penjaaan baharu di Sabah dan Labuan.

"SESB ketika ini di dalam proses untuk menaik taraf sistem pembekalan elektrik di negeri ini dan pelbagai usaha telah dan sedang dilaksanakan dan sebahagian daripada usaha ini, kini di peringkat mendapatkan kelulusan pihak pemegang taruh,” katanya.

Mohd Yaakob berkata SESB memahami kesulitan dialami pengguna ketika berlaku gangguan bekalan elektrik, namun pada masa sama SESB memohon kerjasama pengguna untuk turut memahami kekangan yang dihadapi SESB dalam memberikan perkhidmatan yang mampan kepada pengguna.

Para pengguna dinasihatkan untuk menghubungi SESB Careline 15454, 088-515000 atau melalui aplikasi Whatsapp 019- 8525427 dan melalui aplikasi mySESB bagi sebarang pertanyaan, laporan juga maklum balas. - Bernama