Lelaki cabul bekas jiran dipenjara lima hari, denda RM2,000

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

KULAI - Seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara lima hari dan denda RM2,000 oleh Mahkamah Kulai di sini pada Isnin, selepas mengaku bersalah mencabul kehormatan bekas jirannya pada Khamis lalu.

Tertuduh, Kharoul Kasim, 38, didakwa menggunakan kekerasan jenayah terhadap seorang wanita berusia 22 tahun dengan maksud untuk mencabul kehormatannya.

Perbuatan itu dilakukan di sebuah rumah tumpangan di Jalan Belimbing, Senai jam 1.45 pagi, pada 13 April lalu.

Dia didakwa melakukan kesalahan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman selama tempoh sehingga 10 tahun atau denda atau sebatan.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Edelynn Wong manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Majistret Azureen Sahira Sauffee Afandi menjatuhkan hukuman penjara lima hari dari tarikh tangkapan dan denda RM2,000 atau dua bulan penjara sekiranya gagal membayar denda kepada tertuduh.

Mengikut fakta kes, lelaki berkenaan mengambil mangsa dan anak lelaki mangsa berusia setahun tujuh bulan ke rumah tumpangan untuk berbincang berkaitan urusan mencari rumah sewa.

Ketika dalam bilik berkenaan, tertuduh menolak mangsa ke katil, memeluk dan menutup mulut mangsa.

Ketika kejadian mangsa sempat menghantar lokasi kepada teman lelakinya.