Bacaan IPU tinggi, penduduk Kota Bharu pakai pelitup muka

Pemandangan pusat bandar kelihatan kabur berikutan jerebu ketika tinjauan hari ini. Foto Bernama
Pemandangan pusat bandar kelihatan kabur berikutan jerebu ketika tinjauan hari ini. Foto Bernama
A
A
A

KOTA BHARU - Kualiti udara di sekitar bandar ini yang terjejas berikutan keadaan berjerebu membuatkan orang ramai mula mengambil langkah memakai pelitup muka untuk mengelak sebarang risiko kepada kesihatan.

Seorang guru Rosmalaili Abdul Rahman, 43, berkata beliau mengambil langkah memakai semula pelitup muka apabila mengetahui udara terutamanya di kawasan Kota Bharu merekodkan bacaan tidak sihat semalam.

Katanya beliau khuatir dengan keadaan jerebu ketika ini akan mengundang kepada pelbagai masalah kesihatan termasuk sakit tekak, batuk, lelah dan sebagainya sekiranya tidak mengambil langkah penjagaan awal.

"Disebabkan keadaan cuaca yang tidak sihat ketika ini juga membuatkan saya turut meminta empat anak saya yang berusia antara lapan hingga 17 tahun untuk memakai pelitup muka ke sekolah.

"Selain mengambil langkah penjagaan kepada diri sendiri dan keluarga, orang ramai juga perlu memainkan peranan untuk membendung fenomena ini daripada menjadi lebih teruk termasuk tidak melakukan pembakaran terbuka dan sebagainya,” katanya kepada Bernama, di sini hari ini.

Semalam, Kota Bharu dan Tanah Merah mencatatkan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat dengan bacaan 107 dan 104.

Seorang wartawan sambilan Hazira Ahmad Zaidi, 34, berkata,skop tugasannya yang perlu berada di luar hampir setiap masa untuk membuat liputan berita membuatkan beliau terpaksa memakai pelitup muka ketika membuat tugasan.

"Sejak kebelakangan ini saya mudah untuk berasa sakit tekak dan batuk sekali sekala berkemungkinan disebabkan cuaca yang kering dan jerebu ketika ini, namun setelah memakai pelitup muka gejala berkenaan dapat dikurangkan,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Operasi I Medikel Pharmacy, Faiz Syahiran Mohamad berkata, jualan pelitup muka di farmasi berkenaan semakin meningkat sekali ganda berbanding kebiasaannya sejak beberapa hari lalu.

"Sejak kebelakangan ini, jualan pelitup muka kembali laris dan meningkat sekali ganda susulan rata-rata masyarakat mula mengambil langkah penjagaan apabila berlaku jerebu di negeri ini.

"Malah, tindakan itu juga sebagai langkah berjaga-jaga untuk membendung penularan wabak COVID-19, terutamanya ketika negara bakal menyambut Aidilfitri tidak lama lagi,” katanya. - Bernama