Polis tumpas sindiket curi data didalangi pakar ICT

Kamarul Zaman memberi penerangan berkenaan modus operasi sindiket di IPK Johor, Johor Bahru, pada Khamis.
Kamarul Zaman memberi penerangan berkenaan modus operasi sindiket di IPK Johor, Johor Bahru, pada Khamis.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Polis menumpaskan satu sindiket yang aktif membangunkan aplikasi bertujuan mengakses data pengguna sebelum mencuri wang mangsa, selepas menahan enam individu dipercayai pakar dalam bidang teknologi maklumat (ICT).

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, kegiatan sindiket yang dianggotai pakar-pakar komputer berpendidikan tinggi itu berjaya dikesan hasil maklumat dan risikan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman dan JSJK Kontinjen Johor.

"Suspek yang juga dua lelaki dan empat wanita itu terdiri daripada seorang pemilik syarikat, tiga 'software developer' serta dua 'multimedia designer' masing-masing berusia antara 21 hingga 39 tahun.

"Mereka ditahan dalam Ops Merpati pada jam 3.30 petang semalam (Rabu) di sekitar kawasan Taman Bukit Indah di Johor Bahru. Tangkapan itu direkodkan sebagai kes pertama di negeri ini dan kedua di Malaysia," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini pada Khamis.

Kamarul Zaman berkata, modus operandi sindiket itu adalah dengan mengiklankan jualan barang dengan harga murah dalam media sosial bagi menarik minat mangsa.

Katanya, mangsa yang tertarik dengan iklan berkenaan akan menghubungi sindiket sebelum diberikan satu pautan untuk tujuan pembayaran.

"Namun ketika pembayaran hendak dibuat menerusi pautan yang membawa kepada aplikasi yang dibangunkan sindiket itu, mereka akan mula menggodam segala data yang diberikan mangsa sehingga dapat mengakses akaun bank sekali gus mengambil wang mangsa tanpa diketahui mangsa.

"Bila kita buat pembelian dalam talian dan kemudian bila kita nak bayar, akan keluar satu 'link' dan kita diminta tekan 'link' berkenaan. Biasanya urusan pembayaran itu akan 'hang' (tergantung)," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, mangsa akan berfikiran pembayaran tidak berlaku kerana proses itu tergantung tetapi sebenarnya dalam tempoh tersebut, sindiket dapat mengakses sebarang maklumat daripada nombor kad kredit, nombor pin atau sebarang kod rahsia, seterusnya mengambil wang dan dimasukkan ke akaun sindiket.

Katanya, hasil siasatan awal mendapati sindiket berkenaan turut menjual aplikasi yang dibangunkan kepada sindiket penipuan yang lain dengan harga boleh mencecah sehingga RM30,000.

Kamarul Zaman berkata, dalam serbuan itu, turut dirampas telefon bimbit, komputer, router wifi, cakera keras dan kad akses serta kunci rumah yang dipercayai digunakan sindiket.

Kes itu katanya, disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan Seksyen 120 kanun sama kerana melakukan pakat jahat jenayah.

"Siasatan lanjut masih lagi dijalankan dan pihak kami akan terus mengesan sindiket lain yang menggunakan taktik penipuan yang sama.

"Sehingga kini difahamkan lebih 100 aplikasi ini sudah dijual oleh sindiket ini," katanya.