Najib terima duit putera Arab, dua syarikat RM2.23 bilion

Najib
Najib
A
A
A

KUALA LUMPUR – Bagaikan dimurahkan rezeki apabila akaun Datuk Seri Najib Tun Razak berterusan menerima kemasukan wang berjumlah RM2.23 bilion daripada putera Arab Saudi dan dua syarikat yang dikaitkan dengan ahli perniagaan kontroversi, Low Taek Jho atau Jho Low pada 2011 hingga 2013 lalu.

Amaun itu dimaklumkan oleh Ketua Pasaran Modal Perbankan Persendirian AmBank, Yap Wai Keat ketika prosiding kes rasuah dan pengubahan wang haram sebanyak RM2.3 bilion dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) membabitkan Najib di Mahkamah Tinggi di sini pada Rabu.

Wai Keat yang juga saksi pendakwaan ke-38 berkata, wang berkenaan diterima daripada Putera Faisal Turki Bandar Al-Saud dan dua syarikat iaitu Blackstone Asia Real Estate Partners dan Tanore Finance Corp.

Menurutnya, dua syarikat ini mendepositkan wang berjumlah RM2.2 bilion ke akaun Ahli Parlimen Pekan berakhir nombor 694 melalui 11 transaksi.

Wai Keat berkata, Syarikat Tanore Finance Corp memindahkan wang ke dalam akaun Najib yang juga dikenali dengan kod nama AmPrivate Banking - MR.

Selain itu, beliau berkata, Putera Faisal Turki Bandar Al-Saud telah memasukkan wang menerusi dua transaksi iaitu masing-masing AS$9,999,977 (RM30,449,929.97) pada 24 Februari 2011 dan AS$9,999,970 (RM 30,179,909.46) pada 14 Jun 2011.

“Saya telah diarahkan oleh Pengurus Perhubungan AmBank Najib iaitu Joanna Yu Ging Ping untuk membantu dalam perkara berkaitan pertukaran asing di Bahagian Pasaran untuk akaun ini.

“Joanna mengarahkan saya untuk melaksanakan penukaran wang daripada AS$ kepada RM selepas dia mendapat kelulusan daripada pelanggan (Najib),” katanya selepas membaca pernyataan saksi semasa pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Mustafa P Kunyalam.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, pasukan pembelaan Najib mengemukakan surat daripada kerabat diraja Arab Saudi yang menyatakan bahawa bekas Perdana Menteri itu menerima hadiah wang tunai AS$100 juta sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan beliau kepada dunia Islam.

Surat menggunakan kepala surat Pejabat Peribadi Saud Abdulaziz Majid Al Saud, bekas Gabenor Wilayah Madinah turut menyebut hadiah itu adalah sempena persahabatan yang terjalin antara kedua-duanya dan sebagai menghargai idea-idea baharu Najib selaku pemimpin Islam moden.

Peguam, Wan Aizuddin Wan Mohammed ketika membacakan surat yang ditandatangani pada 1 Februari 2011 berkata, antara lain putera itu memberikan Najib sejumlah AS$100 juta sebagai hadiah yang akan dimasukkan ke dalam akaun beliau.

"Surat itu turut menyatakan bahawa Najib hendaklah memiliki budi bicara mutlak bagi menentukan bagaimana hadiah tersebut akan digunakan bagi mempromosi Islam agar ia terus berkembang dan putera berkenaan menambah baginda tidak mengharapkan sebarang faedah peribadi sama ada secara langsung atau tidak langsung susulan pemberian itu," katanya.