Najib terima hadiah AS$100 juta daripada kerabat Arab: Peguam

Najib
Najib
A
A
A

KUALA LUMPUR – Pasukan pembelaan mengemukakan surat di Mahkamah Tinggi di sini pada Rabu, yang menyatakan bahawa Datuk Seri Najib Tun Razak telah menerima hadiah AS$100 juta daripada seorang lelaki yang dikatakan kerabat diraja Arab Saudi, 11 tahun lalu.

Peguam Wan Aizuddin Wan Mohammed merujuk surat berkenaan kepada saksi ke-37 pendakwaan, Pengurus Cawangan AmBank (M) Berhad Jalan Raja Chulan, R Uma Devi ketika disoal balas dalam prosiding kes rasuah RM2.3 bilion dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan 21 tuduhan pengubahan wang haram jumlah sama.

Surat itu tertera nama Abdulaziz Majid Al Saud yang juga bekas Gabenor Wilayah Madinah bertarikh 1 Februari 2011, dialamatkan ke rumah bekas Perdana Menteri, di Langgak Duta, bertajuk ‘Pengiktirafan Sumbangan Kepada Dunia Islam’.

Menurut surat berkenaan, hadiah itu diberi kepada Najib selaku pemimpin Islam moden bagi menandakan persahabatan yang terjalin.

Surat itu juga katanya, dikeluarkan sebagai niat baik dan beliau tidak mengharapkan sebarang faedah peribadi daripada Najib.

“Hadiah itu tidak sepatutnya ditafsirkan sebagai rasuah kerana ia bertentangan dengan amalan Islam dan secara peribadi tidak menggalakkan amalan sedemikian dalam apa cara sekalipun.

“Ini hanyalah tanda penghargaan peribadi dan saya berharap wang itu akan menggalakkan Najib untuk meneruskan kerja baik untuk mempromosikan Islam di seluruh dunia,” kata Wan Aizuddin ketika membaca isi kandungan surat tersebut.

Peguam itu turut merujuk Uma Devi, 43, dengan penyata akaun Najib bahawa terdapat kemasukan wang berjumlah RM2.08 bilion melalui sembilan transaksi ke dalam akaun berakhir nombor 69-4 (AM Private Banking MR) pada Mac dan April 2013.

Artikel Berkaitan:

Wan Aizuddin: Saya cadangkan, terdapat kesimpulan yang tidak boleh dinafikan bahawa ia adalah alasan mengapa wang terbabit dimasukkan ke akaun Najib.

Uma Devi: Saya tidak dapat sahkan perkara itu, kerana jumlahnya berbeza dan saya tidak pasti sama ada surat ini ada dikemukakan kepada pihak bank sebelum transaksi berlaku.

Wan Aizuddin: Surat ini tidak pernah dibangkitkan oleh bahagian cawangan bank?

Uma Devi: Ya.

Najib, 69, menghadapi empat tuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 tuduhan pengubahan wang haram yang melibatkan jumlah yang sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung jam 2.30 petang ini.