Agong berkenan terima menghadap Putera Mahkota Abu Dhabi

Al-Sultan Abdullah berkenan bergambar bersama Sheikh Khaled ketika baginda menerima menghadap Putera Mahkota Abu Dhabi itu di Istana Negara pada Selasa. - Foto Bernama
Al-Sultan Abdullah berkenan bergambar bersama Sheikh Khaled ketika baginda menerima menghadap Putera Mahkota Abu Dhabi itu di Istana Negara pada Selasa. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada Selasa berkenan menerima menghadap Putera Mahkota Abu Dhabi, Sheikh Khaled bin Mohamed bin Zayed Al Nahyan di Istana Negara.

Sheikh Khaled, yang juga Pengerusi Majlis Eksekutif Abu Dhabi, tiba pada jam 11.30 pagi dan meluangkan masa kira-kira 30 minit di Istana Negara.

Turut berangkat, Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Pada sesi menghadap itu, Al-Sultan Abdullah berkenan menganugerahkan Darjah Seri Maharaja Mangku Negara (Kehormat) kepada Sheikh Khaled yang membawa gelaran ‘Tun’.

Sheikh Khaled turut dikurniakan Darjah Kerabat Sri Indera Mahkota Pahang Yang Amat Di Hormati yang lazimnya dianugerahkan kepada anak raja, raja pemerintah atau ketua negara asing.

Pada pertemuan itu, baginda berdua turut berkenan menamakan dua spesies orkid hibrid sebagai ‘Papilionanda Sheikh Mohamed’ dan ‘Dendrobium Sheikha Fatima’.

Al-Sultan Abdullah menyampaikan spesies orkid hibrid ‘Dendrobium Sheikha Fatima’ kepada Sheikh Khaled yang dinamakan bersempena nama nenda Sheikh Khaled di Istana Negara. - Foto Bernama
Al-Sultan Abdullah menyampaikan spesies orkid hibrid ‘Dendrobium Sheikha Fatima’ kepada Sheikh Khaled yang dinamakan bersempena nama nenda Sheikh Khaled di Istana Negara. - Foto Bernama

‘Papilionanda Sheikh Mohamed’ yang berwarna putih kekuningan dinamakan sebagai simbolik kepada hubungan baik luar biasa antara Al-Sultan Abdullah dan Presiden Emiriah Arab Bersatu (UAE), Sheikh Mohamed Zayed Al Nahyan yang merupakan ayahanda kepada Sheikh Khaled.

Bagi ‘Dendrobium Sheikha Fatima’ yang berwarna putih keunguan pula dinamakan bersempena nama nenda Sheikh Khaled.

Turut hadir pada majlis menghadap itu, Menteri Luar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir serta Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Pada Isnin, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima kunjungan hormat Sheikh Khaled sempena lawatan khas baginda selama empat hari di Malaysia.

Lawatan khas Sheikh Khaled dijangka mengukuhkan lagi hubungan baik yang terjalin sejak sekian lama antara Malaysia dan UAE yang dinaik taraf kepada Perkongsian Strategik pada 27 September 2022.

Sheikh Khaled dijadual akan berangkat menghadiri Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi (LIMA’23) esok. - Bernama