RM90.9 juta masuk ke akaun Najib pada 2012: Saksi

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR – Pengurus cawangan Ambank (M) Berhad Jalan Raja Chulan memberitahu Mahkamah Tinggi di sini pada Isnin bahawa akaun Datuk Seri Najib Tun Razak menerima kemasukan wang RM90.9 juta pada Oktober dan November 2012.

R Uma Devi, 43, berkata demikian ketika membaca pernyataan saksinya, dalam prosiding kes rasuah dan pengubahan wang haram sebanyak RM2.3 bilion dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) membabitkan bekas Perdana Menteri itu.

Saksi pendakwaan ke-37 itu berkata, terdapat transaksi kemasukan wang ke akaun AmIslamic Bank Berhad atas nama Najib berakhir nombor 694, pada 31 Oktober dan 20 November 2012, masing-masing sebanyak RM15,149,963.64 serta RM75,749,963.64.

“Saya memperakui dan mengesahkan bahawa dokumen itu telah dicetak dari komputer milik AmBank Cawangan Jalan Raja Chulan,” katanya membacakan pernyataan saksinya semasa pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Najwa Bistamam.