Duit raya syiling dua genggam

Masjid Kariah Desa Anggerik buat kelainan beri duit raya dalam dulang. - Foto ihsan orang awam
Masjid Kariah Desa Anggerik buat kelainan beri duit raya dalam dulang. - Foto ihsan orang awam
A
A
A

KUALA PILAH - Masjid Kariah Desa Anggerik di Juasseh, di sini, membuat kelainan dengan memberikan duit raya kepada kanak-kanak dalam bentuk wang syiling yang diletakkan dalam dulang pada Syawal kali ini.

Pengerusinya, Nasarudin Zainal berkata, bagaimanapun, mereka hanya dibenarkan mengambil duit raya masing-masing menggunakan dua tangan sahaja dan nilainya bergantung kepada jumlah berjaya diambil.

"Duit syiling kita banyak hasil sumbangan orang ramai dalam tabung masjid. Anggarannya lebih kurang RM550, kita beri peluang kepada kanak-kanak sehingga umur 12 tahun ambil duit raya dalam dulang selepas selesai solat dan khutbah Hari Raya Aidilfitri.

"Aktiviti ini diadakan secara suka-suka sahaja bagi menceriakan suasana pagi Syawal selain menggalakkan kanak-kanak untuk datang ke masjid," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Ahad.

Katanya, idea pemberian duit syiling itu bermula apabila orang ramai menyumbangkan duit termasuklah wang kertas ke dalam tabung masjid.

"Hanya wang kertas kita gunakan untuk pelbagai urusan. Kita sepakat jadikan wang syiling ini sebagai duit raya sekali gus memberi manfaat kepada anak kariah.

"Ini kali pertama kami mengadakan acara seperti ini. Selain duit syiling itu, wang kertas turut diberikan kepada kanak-kanak sebagai tambahan," katanya.

Salah seorang kanak-kanak, Ainnur Qayla Mardhiyya Mohd Farid, 7, berkata, bapanya membawanya ke masjid untuk solat Aidilfitri dan memberitahu akan diberikan duit raya dalam dulang.

"Saya tidak sangka dapat duit raya dalam dulang. Seronok lepas ambil dengan dua tangan saya dapat RM13," katanya.