Individu positif dadah pulang dari Thailand berdepan tindakan

Langkah kerajaan Thailand membenarkan penggunaan ganja atau kanabis menyebabkan ramai rakyat di kawasan sempadan khususnya di negeri itu mengambil kesempatan untuk menikmati minuman tersebut setiap kali tibanya hujung minggu.
Langkah kerajaan Thailand membenarkan penggunaan ganja atau kanabis menyebabkan ramai rakyat di kawasan sempadan khususnya di negeri itu mengambil kesempatan untuk menikmati minuman tersebut setiap kali tibanya hujung minggu.
A
A
A

KANGAR - Rakyat Malaysia yang didapati positif dadah selepas pulang dari Thailand akan diambil tindakan di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Ketua Polis Perlis, Datuk Surina Saad berkata, akta dan tindakan sama akan diambil kepada mana-mana individu memasukkan dadah dalam tubuh badan dan didapati positif di negara ini.

“Jika ada rakyat Malaysia dengan sengaja mencuba dan mengambil dadah atau apa-apa produk ganja yang menyebabkan mereka khayal akan didapati bersalah di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Membawa masuk produk berasaskan ganja juga merupakan kesalahan di bawah akta yang sama dan akan dituduh memiliki atau mengedar dadah jika ia dalam kuantiti yang besar,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Tambah beliau, Ibu Pejabat Polis (IPD) Padang Besar menjalankan Op Tapis Sempadan di pos kawalan warta iaitu Wang Kelian dan Padang Besar pada 23 hingga 24 Julai lepas.

Katanya, sebanyak 96 pemeriksaan dilakukan, enam daripada 71 individu yang menjalani saringan ujian air kencing didapati positif dadah dalam Op Tapis Sempadan itu.

“Operasi Tapis ini bukan hanya dilakukan di sempadan malah seluruh negeri Perlis secara berkala selari dengan tindakan Op Tapis Khas dijalankan setiap bulan di seluruh Malaysia,” katanya.

Ujar beliau, setakat ini, polis belum mengesan produk berasaskan ganja ataupun ketum dibawa masuk ke Perlis namun akan terus membuat pemeriksaan dan tangkapan jika menemui rakyat Malaysia yang bertindak sedemikian.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, semua produk berasaskan dadah berbahaya di bawah Jadual Pertama Akta Dadah Berbahaya 1952 adalah salah di sisi undang–undang tidak kira kuantitinya.

“Jika jumlah melebihi anggapan di bawah akta sama seseorang itu boleh dianggap sebagai ‘pengedar dadah’ dan contohnya, 200 gram atau lebih berat bersih ganja boleh dihukum di bawah Seksyen 39B akta sama dan boleh dijatuhkan hukuman mati atau penjara seumur hidup,” katanya.

Surina memaklumkan, bagi produk mengandungi ketum pula akan diambil tindakan di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, peningkatan penyeludupan dadah adalah berdasarkan kuasa permintaan penagih tempatan.

Jelas beliau, semakin ramai penagih, semakin tinggilah permintaan dan secara tidak langsung ia akan menyebabkan penyeludup dan pengedar dadah menggunakan pelbagai alternatif untuk membolosi sempadan dikawal oleh pihak penguatkuasa.

Ujarnya, pihak polis akan menggunakan kepakaran dalam pengumpulan maklumat risikan dan mengenalpasti sindiket tempatan yang mempunyai pertalian dengan kegiatan pengedaran dadah merentasi sempadan.

"Tindakan ini bukan sahaja akan melumpuhkan sindiket tempatan malah kerjasama antarabangsa juga akan memastikan penyeludup negara jiran juga diambil tindakan," katanya.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan langkah Thailand membenarkan penggunakan ganja atau kanabis menyebabkan ramai rakyat di kawasan sempadan mengambil kesempatan untuk menikmati minuman tersebut setiap kali tibanya hujung minggu.