Segera wartakan ketagihan ketum dalam Akta Dadah - Masac

Masac gesa agar cadangan pewartaan ketagihan air ketum sebagai kesalahan dadah di bawah Akta Dadah Berbahaya disegerakan. - Gambar hiasan (Gambar kecil: Raja Azizan)
Masac gesa agar cadangan pewartaan ketagihan air ketum sebagai kesalahan dadah di bawah Akta Dadah Berbahaya disegerakan. - Gambar hiasan (Gambar kecil: Raja Azizan)
A
A
A

SHAH ALAM - Majlis Penyalahgunaan Bahan Malaysia (Masac) menggesa agar cadangan pewartaan ketagihan air ketum sebagai kesalahan dadah di bawah Akta Dadah Berbahaya disegerakan.

Setiausaha Agungnya, Raja Azizan Suhaimi berkata, ia berikutan pengambilan ketum pada masa kini semakin menular ke banyak lapisan masyarakat dengan tanggapan salah bahawa ia sebagai air ubat yang memberikan kesihatan kepada mereka.

“Sekiranya gejala meminum air ketum tidak dikawal selengkapnya dari sekarang ini, negara dikhuatiri akan ada banjiran lambakan penagih dadah ekspres baharu jenis dari ketagihan air ketum apabila ia lambat diwartakan sebagai satu dadah di bawah Akta Dadah Berbahaya seperti yang telah dicadangkan oleh Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK).

“Air ketum ini mungkin ada kebaikan sebagai air herba jika diambil dalam kuantiti yang sedikit mengikut sukatan pakar perubatan, namun jika diambil dari yang jenis telah ditambah bahan kimia seperti ubat nyamuk atau air ketum yang direbus bersama najis tahi lembu serta tahi khinzir untuk memberikan efek ‘kick’ (padu) yang lebih, ia telah jadi dadah yang boleh menyebabkan ketagihan, akan menyebabkan pelaku hilang kawalan pemikiran untuk kekal logik, cepat mengamuk serta kebergantungan pada ketum untuk tenaga,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Dalam pada itu, ujar Raja Azizan, Masac berharap peruntukan dana dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi membantu gerakan anti ketum itu dapat disumbangkan untuk dua tahun pertama sebelum pewartaan tersebut dilaksanakan.

Menurutnya, langkah itu dapat membantu mana-mana pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkaitan dadah dalam menggunakan dana, kemudahan dan kepakaran perubatan KKM sebagai usaha awal menyelesaikan permasalahan ketagihan ketum dalam kalangan masyarakat.

“Pusat Pemulihan Dadah Persendirian (PPDP) seluruh negara boleh digerakkan secara maksimum untuk berusaha mengubati mereka ini yang telah terlibat dengan penagihan ketum secara ‘one off’ tanpa hukuman atau rekod jenayah sebelum ketum diwartakan di bawah Akta Dadah Berbahaya selewatnya sebelum hujung tahun ini dengan menggunakan dana kerajaan untuk mereka ini mendaftar secara ‘in-house patient’ (pesakit dalam bangunan) atau ‘out patient’ (pesakit luar).

“Manakala NGO berkait dadah yang tiada kemudahan PPDP digerakkan dengan dana tahunan selama dua tahun untuk program ceramah, penyaluran maklumat kepada mereka yang belum terlibat dengan pengambilan air ketum, atau baru sahaja ambil ketum yang belum ketagih agar negara tidak akan ada lambakan pengguna dadah dari jenis ketum," katanya.

Beliau menjelaskan, permasalahan pengambilan air ketum perisa asli atau campuran hendaklah dilihat sebagai cabaran baharu penagihan dadah di Malaysia

“Masac sebagai NGO berkait permasalahan penyalahgunaan bahan terlarang bersedia bersama kerajaan menggerak tenaga kerja bagi isu ini dapat diatasi secara bersama ‘hand-on-hand’,” ujarnya.