Prasarana bentuk jawatankuasa audit stesen tren, hab bas

Ka Siong (kanan) beramah mesra bersama ahli panel ‘Mystery Shopper’ pada Khamis.
Ka Siong (kanan) beramah mesra bersama ahli panel ‘Mystery Shopper’ pada Khamis.
A
A
A

SHAH ALAM - Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) membentuk Jawatankuasa Audit Kesediaan dan Siap Siaga Stesen (AKSES) bagi memastikan kemudahan buat pengguna berada pada tahap optimum sepanjang menggunakan perkhidmatan Rapid KL.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Ir Dr Wee Ka Siong berkata, AKSES melibatkan audit kendiri yang menyeluruh oleh pengurus stesen ke atas 147 stesen tren dan 10 hab bas pada setiap suku tahun.

Katanya, ia merangkumi beberapa kawasan fokus termasuk kebersihan, kemudahan akses, pencahayaan, fasiliti, papan tanda, lif dan eskalator.

“Audit AKSES yang pertama telah dijalankan pada Ogos tahun ini dan hasil mendapati 74 peratus daripada stesen berada dalam keadaan baik dan penilaian purata prestasi stesen berada pada tahap 2.82 daripada markah penuh 3.00.

“Namun, beberapa kawasan akan diberi perhatian berterusan termasuklah pencahayaan, kebersihan tandas awam, isu kebocoran dan pengumpulan air serta fasiliti surau dan kawasan solat.

“Perkhidmatan lif dan eskalator juga akan terus diberi penekanan. Prasarana akan menyediakan pendekatan yang mantap dalam mengurangkan ‘downtime’ (tidak aktif), pemeriksaan dan pensijilan semua lif serta eskalator," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata, pihak kementerian akan memantau penambahbaikan dan penyelenggaraan secara teliti serta akan terlibat secara langsung dalam AKSES sebagai juruaudit bagi memastikan segala usaha berjalan lancar.

Tambahnya, Prasarana selaku operator kepada perkhidmatan rel dan bas utama negara komited dalam memperkasakan budaya penyelenggaraan serta meningkatkan pengalaman pengguna pengangkutan awam.

Artikel Berkaitan:

Ujarnya, ekoran beberapa isu yang dibangkitkan mengenai keadaan penyelenggaraan fasiliti dan kesediaan stesen tren serta hab bas sebelum ini, Prasarana ditugaskan untuk mewujudkan pendekatan yang mantap dalam memastikan fasiliti stesen dan kemudahan awam dalam keadaan baik serta selamat untuk beroperasi.

“Budaya penyelenggaraan yang lestari dan pengalaman pengguna adalah teras kritikal yang dipandang serius oleh kerajaan Malaysia.

“Hala tuju utama kerajaan dari segi agenda pengangkutan mesra rakyat adalah memberi kemudahan, mengetengah dan menerapkan sistem pengangkutan awam darat yang terancang, selamat, responsif, efisien serta mampan,” tegasnya.

Mengulas mengenai Program Mystery Shopper (MSP), beliau berkata, ia merupakan program lanjutan daripada AKSES bertujuan mendapatkan maklum balas pengguna pengangkutan awam dan memberi verifikasi kepada audit kendiri jawatankuasa itu.

“Program MSP yang julung kali diadakan ini melibatkan enam ahli panel terdiri daripada pengguna pengangkutan awam Rapid KL yang menjalankan audit bebas ke atas beberapa stesen dan hab utama perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT), Transit Aliran Massa (MRT), Monorel dan Transit Aliran Bas (BRT),” ujarnya.