JAS siap siaga tangani pembakaran terbuka

JAS siap siaga tangani pembakaran terbuka dalam tempoh monsun barat daya yang biasanya bermula pada pertengahan Mei hingga September. - Gambar hiasan
JAS siap siaga tangani pembakaran terbuka dalam tempoh monsun barat daya yang biasanya bermula pada pertengahan Mei hingga September. - Gambar hiasan
A
A
A
PUTRAJAYA - Jabatan Alam Sekitar (JAS) telah bersiap siaga dan mengambil pelbagai langkah bagi menangani isu pembakaran terbuka yang merupakan antara punca menyebabkan kemerosotan kualiti udara dan keadaan jerebu setempat yang boleh menjejaskan kesihatan awam.

Menurut jabatan itu dalam tempoh monsun barat daya yang biasanya bermula pada pertengahan Mei hingga September, kejadian ribut petir dan hujan lebat dijangka berkurangan dan kebanyakan negeri akan mengalami lebih banyak bilangan hari tanpa hujan.

"Dalam tempoh cuaca kering ini, adalah dikhuatiri kejadian pembakaran terbuka akan berlaku peningkatan terutamanya di kawasan yang mudah dan sering terbakar seperti di kawasan tanah gambut dan tapak pelupusan sampah,” menurutnya dalam kenyataan di sini pada Ahad.

Walaupun tidak dinafikan bahawa pelepasan daripada aktiviti perindustrian dan kenderaan bermotor turut menyumbangkan kepada kemerosotan udara terutama di kawasan Lembah Klang dan perindustrian, namun daripada analisis dan rekod JAS, ia menunjukkan bahawa pembakaran terbuka biojisim (biomass) adalah punca utama yang menyebabkan jerebu tempatan.

JAS turut memaklumkan beberapa langkah persediaan diambil bagi menangani kejadian kebakaran daripada berlaku, antaranya meningkatkan pemantauan dan rondaan operasi mencegah pembakaran terbuka melalui darat dan menggunakan dron.



JAS berkata, tindakan tegas akan diambil bagi kawasan kebakaran yang telah berlaku dan pihaknya akan mengenal pasti pemilik tanah kawasan kebakaran yang terlibat untuk tindakan perundangan di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

Di bawah Seksyen 29 (A) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, individu yang disabitkan dengan kesalahan melakukan pembakaran terbuka akan dikenakan denda tidak melebihi RM500,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali, dan kompaun maksimum RM2,000 juga boleh dikenakan atas setiap kesalahan.

JAS juga meminta orang ramai melaporkan kes-kes pembakaran terbuka atau kebakaran kepada JBPM di talian 999 dan JAS di talian bebas tol 1-800-88-2727, manakala sebarang kes kebakaran yang berlaku di kawasan perumahan perlu dilaporkan kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di kawasan masing-masing.

Selain itu jabatan berkenaan turut bekerjasama dengan Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) bagi mengawal kes-kes kebakaran yang berlaku, selain sentiasa memantau bacaan dan trend Indeks Pencemar Udara (IPU) stesen pengawasan udara dari semasa ke semasa untuk tindakan lanjut.

Katanya, Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) turut mengaktifkan Pelan Tindakan Pembakaran Terbuka Kebangsaan (PTPTK) pada 2 April 2023 yang melibatkan tindakan-tindakan oleh agensi-agensi berkaitan yang melibatkan jabatan dan kementerian lain dalam pemantauan, pencegahan dan pemadaman pembakaran terbuka di dalam negara. - Bernama