Sabah kekal tuntut hak termaktub dalam MA63

Juhar (tiga dari kiri) diiringi Hajiji (dua dari kiri) dan Bung Moktar (kiri) menyempurnakan upacara memotong kek Hari Malaysia pada Majlis Sambutan Hari Malaysia Peringkat Negeri Tahun 2022 di Padang Merdeka di Kota Kinabalu.
Juhar (tiga dari kiri) diiringi Hajiji (dua dari kiri) dan Bung Moktar (kiri) menyempurnakan upacara memotong kek Hari Malaysia pada Majlis Sambutan Hari Malaysia Peringkat Negeri Tahun 2022 di Padang Merdeka di Kota Kinabalu.
A
A
A
KOTA KINABALU - Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor menegaskan bahawa kerajaan negeri akan meneruskan usaha menuntut hak negeri ini seperti yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Beliau berkata, kerajaan negeri akan memanfaatkan sepenuhnya persefahaman dan hubungan baik dengan kerajaan Persekutuan dalam memastikan tuntutan Sabah dipenuhi serta dilaksanakan.

"Kita percaya bahawa isu berhubung hak dan kepentingan negeri yang melingkari hubungan kerjasama di antara kerajaan negeri dan Persekutuan selama ini akan dapat ditangani melalui perundingan serta muafakat atas semangat Keluarga Malaysia.



"Dalam Mesyuarat Majlis Khas Perjanjian Malaysia 1963 (MKMA63) yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob) pada 8 September lalu, saya telah mengulangi bahawa Sabah akan tanpa henti terus menuntut 40 peratus pulangan daripada hasil bersih Sabah sendiri yang dikutip oleh kerajaan Persekutuan, seperti yang ditetapkan dalam Perkara 112D

Perlembagaan Persekutuan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Hari Malaysia Peringkat Negeri Tahun 2022 di Padang Merdeka pada malam Jumaat.

Turut hadir Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin dan isteri, Toh Puan Norlidah RM Jasni; Timbalan Ketua Menteri Sabah I merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pelaksana Sambutan Hari Malaysia Peringkat Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin dan Timbalan Ketua Menteri Sabah III, Datuk Dr Joachim Gunsalam.

Dalam pada itu beliau berkata, Sabah telah melangkah sejauh ini sejak pengisytiharan bersejarah Malaysia pada 16 September 1963.

"Walaupun masih banyak ruang untuk penambahbaikan dalam konteks pembangunan di bawah semangat MA63, Sabah akan terus menuntut apa yang patut, supaya kita juga akan menikmati hasil pembangunan sebagai rakan kongsi kepada negara tercinta ini.

"Sesungguhnya, kita ingin melihat erti sebenar Keluarga Malaysia diterjemahkan menerusi konteks kesaksamaan dalam usaha membangunkan negara," kata beliau.
Artikel Berkaitan:


Sehubungan itu katanya, kerajaan negeri akan terus melangkah ke hadapan untuk membawa lebih banyak kemajuan dan pembangunan di negeri ini.