Ratusan ikan kelah mati: Sampel diambil semula untuk pengesahan jangkitan KHV

KOTA KINABALU - Pengambilan sampel kedua ikan pelian atau kelah di Sungai Ulu Padas, Kampung Long Pasia, Sipitang, akan dilakukan sekali lagi bagi mengesahkan punca sebenar kematian ikan di kampung tersebut yang disyaki mendapat serangan penyakit Hoi Herpes Virus (KHV).
Ketua Bahagian Biosekuriti Perikanan, Matlan @ Abd Rahim Thaufeck berkata, setakat ini laporan makmal terhadap sampel ikan kelah dari sungai berkenaan didapati negatif, namun berdasarkan pemerhatian klinikal termasuk ciri-ciri serangan, kes tersebut menunjukkan jangkitan KHV.
Beliau menjelaskan, terdapat beberapa sungai yang sukar memperoleh sampel ikan disebabkan faktor alam seperti aliran sungai yang deras dan menghanyutkan bangkai ikan kelah.
"Ada beberapa sungai yang kita berjaya peroleh sampelnya dan kini masih dalam proses kajian di makmal.
"Namun bagi kes kematian ikan di Sungai Kampung Long Pasia, sampel dihantar ke makmal Biosekuriti Perikanan Likas didapati negatif dan langkah seterusnya pihak makmal akan menghantar sampel yang sama sama ke Institut Penyelidikan Perikanan (IPP) Batu Maung untuk pengesahan penyakit KHV.
"Pihak Jabatan akan menjalankan penyempelan semula jika keadaan cuaca sesuai," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.
Sementara itu, Jabatan Perikanan Sabah mengesahkan sebahagian besar insiden kematian ikan secara besar-besaran yang berlaku di negeri ini berpunca daripada jangkitan virus, termasuk KHV.
Pengarahnya, Datin Dr Shuhadah Mustapha berkata, pihaknya turut menerima aduan kes sama dari pelbagai daerah selain Sipitang, dengan 47 aduan kematian ikan kelah melibatkan pelbagai kampung di sembilan daerah sejak Ogos tahun lalu hingga awal bulan ini.
"Ia dikesan menerusi sampel ikan pelian yang diambil susulan aduan yang diterima dan jumlah laporan semakin meningkat dari daerah lain
"Didapati ikan yang mati tersebut mempunyai ciri-ciri klinikal serangan virus KHV dan beberapa sampel telah di hantar ke makmal untuk ujian KHV dan SVCV," katanya.
Dr Shuhadah turut memaklumkan bahawa Unit Pengurusan Kesihatan Ikan (KI) mengesan tiga kes positif jangkitan KHV melibatkan Kampung Kaingaran di Tambunan serta Kampung Senagang dan Kampung Pangas Ulu di Keningau yang direkodkan pada Ogos tahun lalu.
Di Kampung Rantai, Keningau pula, pihaknya mengesan jangkitan bakteria Aeromonas hydrophila hasil pemeriksaan ke atas sampel pertama berdasarkan tanda klinikal ikan mati yang menunjukkan simptom berkaitan pada tempoh sama.
"Pemeriksaan dan persampelan dijalankan di sungai-sungai tersenarai berdasarkan aduan diterima dan semasa persampelan, terdapat beberapa ekor ikan pelian didapati lemah serta hilang keseimbangan ketika berenang selain insangnya mereput dan bahagian luaran abdomen mengalami pendarahan.
"Semua sampel ikan dihantar untuk dianalisis di makmal Kompleks Perikanan Likas dengan keputusan awal dijangka diperoleh dalam tempoh tiga hari.
"Daripada 13 persampelan yang diambil, tiga daripadanya disahkan positif KHV dan pengesahan lanjut membabitkan analisis sequencing perlu dilakukan ke atas sampel positif tersebut," katanya.
Ringkasan AI
- Pengambilan sampel kedua ikan kelah di Sungai Ulu Padas, Sipitang, akan dilakukan untuk mengesahkan punca kematian ikan
- Laporan makmal terhadap sampel ikan kelah didapati negatif untuk KHV, namun jangkitan masih disyaki berdasarkan ciri-ciri klinikal
- Sampel yang negatif akan dihantar ke Institut Penyelidikan Perikanan Batu Maung untuk pengesahan KHV
- Jabatan Perikanan Sabah menerima 47 aduan kematian ikan kelah di sembilan daerah sejak Ogos tahun lalu
- Tiga kes positif jangkitan KHV telah direkodkan di Kampung Kaingaran, Tambunan, dan dua kampung di Keningau
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
