Rumah Terbuka: Usaha dekati rakyat, kerajaan negeri

Menteri Besar Kedah, Datuk seri Muhammad Sanusi Md Nor sebelum ini mendakwa Majlis Rumah Terbuka Malaysia Madani Bersama Perdana Menteri di enam negeri dianggap sebagai program kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) dan tidak wajar diadakan.
Menteri Besar Kedah, Datuk seri Muhammad Sanusi Md Nor sebelum ini mendakwa Majlis Rumah Terbuka Malaysia Madani Bersama Perdana Menteri di enam negeri dianggap sebagai program kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) dan tidak wajar diadakan.
A
A
A

ALOR SETAR - [DIKEMAS KINI] Majlis Rumah Terbuka Malaysia Madani bersama Perdana Menteri di enam negeri merupakan antara usaha mengeratkan hubungan kerajaan Persekutuan dengan kerajaan negeri khususnya yang ditadbir pembangkang.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, program bersama rakyat itu juga dapat menjalin hubungan dua hala agar lebih mesra untuk manfaat rakyat.

Menurutnya, pemilihan negeri tersebut bukanlah berdasarkan kepada isu politik semata-mata, berikutan kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri perlu saling bekerjasama dalam pelbagai aspek.

“Kita mahu ada kerjasama dua pihak, soal parti politik mana yang berkuasa, itu soal lain, biar rakyat yang menentukan.

“Apabila sudah menjadi kerajaan, mesti ada kerjasama sebab tanggungjawab seperti jalan raya, lapangan terbang atau sektor pertanian perlu ada kerjasama antara Persekutuan dan negeri, tidak boleh bergerak solo,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Sambutan Aidil Fitri Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan bersama Parti Amanah Negara (Amanah) Kedah di sini pada malam Ahad.

Mohamad berkata, sekiranya hubungan kerjasama tersebut gagal dibentuk, ia akan menyebabkan rakyat merana.

“Sekiranya kurang pembangunan di sesebuah negeri disebabkan tiada kerjasama, rakyat yang akan menanggung kesannya. Ini kerana walau kaya macam mana pun negeri itu, mereka masih perlu berhubung dengan kerajaan Persekutuan,” katanya.

Jabatan Perdana Menteri (JPM) dalam kenyataan sebelum ini memaklumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak akan mengadakan Rumah Terbuka Aidilfitri di kediaman rasmi beliau di Kompleks Seri Perdana, Putrajaya.

Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri bersama Perdana Menteri dan Jemaah Menteri akan diadakan di enam negeri iaitu Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Terengganu.

Sambutan bermula di Hotel Raia, Alor Setar, Kedah pada 29 April, diikuti di UiTM Permatang Pauh, Pulau Pinang (6 Mei) sebelum diteruskan esoknya di Dewan Majlis Bandaraya Seremban, Negeri Sembilan.

Manakala Kelantan pada 12 Mei di Pekarangan Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, seterusnya di Dewan Al-Muktafi Billah Shah, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) Terengganu pada 13 Mei, serta Selangor pada 14 Mei.

Pada Ahad, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menyifatkan Rumah Terbuka Malaysia Madani di enam negeri sebagai program kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) dan tidak wajar diadakan kerana melibatkan kos tinggi sedangkan kerajaan Persekutuan sebelum ini menguar-uarkan langkah penjimatan.

Mohamad bagaimanapun menangkis dakwaan program tersebut bermotifkan politik selain untuk memancing undi di negeri pembangkang.

“Itu hak Perdana Menteri nak pilih negeri mana. Seperti kita akan sambut merdeka tahun ini di Sarawak sedangkan di sana tidak ada PRN.

“Kalau membazir, nanti semak perbelanjaan antara kerajaan sebelum ini dengan kerajaan sekarang. Jika dibuat satu tempat lagi bazir jauh orang nak pergi. Kalau buat di Kedah, orang Kedah boleh datang. Kalau buat di Kuala Lumpur sahaja, nanti ada kata kenapa tak buat di negeri yang ramai B40, orang akan merungut juga,” ujarnya.

Mengulas mengenai pendekatan berbeza ditunjukkan Menteri Besar Terengganu yang menyambut baik program berkenaan diadakan di negeri itu, Presiden Amanah itu enggan membuat perbandingan antara Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dengan Muhammad Sanusi yang agak lantang mengkritik.

“Saya tidak mahu bandingkan pendekatan oleh mana-mana Menteri Besar. Sebagai kerajaan, kita sentiasa perlu bekerjasama antara Persekutuan dengan kerajaan negeri terutama bidang pertanian kerana tanah di bawah tadbir negeri.

“Setakat ini kerajaan negeri beri kerjasama baik kepada Pusat, kalau ada yang seorang itu cakap, itu cara dia lah,” ujarnya.