Kota Kinabalu catat RM119 juta kerugian jenayah komersial, kedua tertinggi negara

Asyikin Asmin antara lapan petugas media yang menerima sijil penghargaan daripada IPD Kota Kinabalu pada Isnin.
Asyikin Asmin antara lapan petugas media yang menerima sijil penghargaan daripada IPD Kota Kinabalu pada Isnin.
A
A
A

KOTA KINABALU - Kota Kinabalu merupakan daerah kedua tertinggi di seluruh negara bagi kes jenayah komersial, dengan rekod sebanyak 1,347 kertas siasatan dibuka dan nilai kerugian mencecah sehingga RM119 juta bagi tahun lalu.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Kasim Muda berkata, statistik tersebut menunjukkan peningkatan kerugian sebanyak RM24 juta berbanding tahun 2024.

"Jenayah komersial untuk tahun lepas kita berada di tempat kedua tertinggi di Malaysia dengan peningkatan sebanyak 256 kes iaitu 1,347 kertas siasatan dibuka dan RM119 juta kerugian berbanding pada 2024 mencatatkan1,091 kertas siasatan dibuka dan melibatkan kerugian sebanyak RM95 juta.

"Kes melibatkan love scam, pinjaman dan pelaburan tidak wujud, pembelian dalam talian dan penipuan kerja sambilan.

"Ini termasuk kes terbaharu yang berjaya ditumpaskan iaitu kegiatan 'calling centre' dengan tangkapan seramai 20 individu warga tempatan dan asing.

"Selain itu, terdapat juga serbuan dan tangkapan tujuh suspek dipercayai terlibat dalam kegiatan membeli kad mesin juruwang automatik (ATM) daripada orang awam untuk dijadikan sebagai akaun keldai," katanya.

Beliau berkata demikian selepas perhimpunan bulanan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu di sini pada Isnin.

Dalam perhimpunan berkenaan, seramai lapan petugas media termasuk wartawan Sinar Harian menerima sijil penghargaan daripada IPD Kota Kinabalu.

Sijil penghargaan tersebut disampaikan sendiri oleh Kasim sebagai tanda penghargaan kepada petugas media yang banyak memberikan kerjasama dalam membuat hebahan berita, sama ada melalui media cetak mahupun dalam talian.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!