Anggota polis ditahan isu tohmahan di media sosial

Tular hantaran di media sosial berkaitan layanan yang didakwa diberikan kepada beberapa pegawai polis yang ditahan di lokap IPD Shah Alam pada Jumaat.
Tular hantaran di media sosial berkaitan layanan yang didakwa diberikan kepada beberapa pegawai polis yang ditahan di lokap IPD Shah Alam pada Jumaat.
A
A
A

SHAH ALAM - Seorang anggota polis ditahan bagi siasatan berkaitan tohmahan dakwaan layanan istimewa kepada tahanan terdiri daripada pegawai polis di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah(IPD) Shah Alam yang tular menerusi media sosial pada Jumaat.

Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, suspek yang diberkas merupakan anggota polis berpangkat Lans Koperal berumur 28 tahun.

Menurutnya, siasatan dijalankan mendapati gambar ditularkan diambil oleh seorang anggota polis yang merakamkan dari sudut menampakkan kipas angin dihalakan ke sel yang dihuni beberapa pegawai polis yang ditahan dalam lokap.

"Siasatan turut mendapati kipas berkenaan dibekalkan untuk kegunaan anggota bertugas di ruang bersebelahan," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Beliau berkata, suspek ditahan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 8 Akta Rahsia Rasmi, Seksyen 203A Kanun Keseksaan, Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.

Dalam pada itu, Arjunaidi berkata, Polis Selangor menafikan sekeras-kerasnya dakwaan terdapat layanan istimewa terhadap mana-mana tahanan termasuk tahanan melibatkan pegawai polis.

"Layanan istimewa yang didakwa menerusi media sosial itu sama sekali tidak benar.

"Tiada sebarang arahan atau kebenaran untuk memberikan layanan seperti yang didakwa, pemeriksaan juga sentiasa dijalankan dari masa ke masa bagi memastikan ia dipatuhi," katan beliau.

Artikel Berkaitan:

Tegasnya, PDRM tidak pernah memberikan apa-apa layanan istimewa kepada mana-mana tahanan di dalam lokap.

"PDRM juga tidak akan berkompromi terhadap salah laku yang dilakukan oleh mana-mana pihak termasuklah pegawai atau anggota PDRM sendiri," katanya.

Pada Jumaat, tular hantaran di media sosial berkaitan layanan yang didakwa diberikan kepada beberapa pegawai polis yang ditahan di lokap IPD Shah Alam.