Mat rempit halang tugas anggota polis ditahan

Kenyataan media IPD Kulai. - Gambar kiri: Beng Yeow
Kenyataan media IPD Kulai. - Gambar kiri: Beng Yeow
A
A
A

KULAI - Empat mat rempit ditahan pada Selasa, selepas dipercayai merusuh dan menghalang anggota polis yang bertugas ketika Op Selamat di Kilometer (km) 7, Jalan Kulai- Kota Tinggi.

Ketua Polis Daerah Kulai, Superintenden Tok Beng Yeow berkata, kesemua suspek lelaki berusia 23 hingga 39 tahun itu ditahan di dua lokasi berbeza di daerah ini dan Johor Bahru.

"Anggota polis terbabit bertindak membuat laporan pada Ahad selepas dipukul oleh sekumpulan penunggang motosikal ketika menjalankan tugas dalam Op Selamat.

"Bertindak atas maklumat, sepasukan pegawai dan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai membuat serbuan di dua lokasi berasingan di Kulai dan Johor Bahru," katanya dalam kenyataan pada Rabu

Beliau memberitahu, keempat-empat suspek terbabit mengaku terlibat dalam kejadian merusuh dan lumba haram.

"Tiga daripada suspek pula mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan penyalahgunaan dadah dan jenayah.

"Kesemua suspek kini ditahan reman selama empat hari bermula Selasa. Kes disiasat di bawah Seksyen 186 dan 147 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda RM10,000 jika sabit kesalahan," katanya.