Penyeludup beralih ke laluan laut, Sungai Kelantan

Mohd Yusoff (tengah) semasa sidang akhbar selepas merasmikan Perhimpunan Bulanan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di Kota Bharu pada Rabu.
Mohd Yusoff (tengah) semasa sidang akhbar selepas merasmikan Perhimpunan Bulanan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di Kota Bharu pada Rabu.
A
A
A

KOTA BHARU – Sindiket penyeludupan dikesan beralih ke laluan laut dan Sungai Kelantan selepas penutupan serta perobohan pangkalan haram di sepanjang Sungai Golok.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, penyeludup tidak lagi bergantung kepada laluan Sungai Golok yang semakin diketatkan, sebaliknya mengeksploitasi ruang laut yang luas dan terbuka sebagai pintu masuk utama ke negeri ini.

Menurutnya, tanpa sistem pemantauan teknologi seperti Remote Sensored Site (RSS) di lokasi strategik seperti di Pulau Tengkorak, Tumpat, pergerakan bot penyeludup sukar dikesan lebih awal.

"Laluan laut ini terlalu luas. Selagi tiada sistem radar seperti RSS, kita berdepan kesukaran untuk mengesan kemasukan bot-bot ini.

"Mereka boleh bergerak jauh, termasuk ke kawasan Besut, Terengganu dan lokasi lain tanpa dikesan,"katanya semasa sidang akhbar pada Rabu.

Sebelum itu beliau merasmikan Perhimpunan Bulanan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini.

Beliau memberitahu, perubahan modus operandi itu menunjukkan sindiket semakin tersusun, terancang dan berani, dengan kemasukan harian dikesan melalui laut sebelum disalurkan ke Sungai Kelantan dan seterusnya ke darat.

Lebih membimbangkan, ujarnya rangkaian penyeludupan turut menjadikan penempatan penduduk kampung sebagai rumah transit bagi melancarkan pergerakan mereka.

"Sehubungan itu, kami telah menggerakkan pendekatan penguatkuasaan berlapis, dengan kerjasama Maritim Malaysia dan pasukan marin bagi memperluaskan operasi di perairan.

Artikel Berkaitan:

"Manakala di darat, pasukan khas digerakkan untuk pemantauan dan operasi berterusan," katanya.

Menurut beliau, usaha itu penting bagi mengekang Kelantan daripada terus menjadi hab transit jenayah rentas sempadan yang berpotensi mengancam keselamatan negeri dan negara.

Ringkasan AI

  • Sindiket penyeludupan beralih ke laluan laut dan Sungai Kelantan selepas penutupan pangkalan haram di Sungai Golok
  • Penyeludup menggunakan ruang laut yang luas sebagai pintu masuk utama ke Kelantan
  • Tanpa sistem pemantauan seperti RSS, pergerakan bot penyeludup sukar dikesan
  • Modus operandi penyeludup semakin tersusun dengan kemasukan harian melalui laut
  • Kerjasama Maritim Malaysia dan pasukan marin diperkuatkan untuk memperluaskan operasi penguatkuasaan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!