Rasuah, salah laku perlu dilihat sebagai rompakan kepada negara - EAIC

SHAH ALAM - Persepsi terhadap rasuah dan salah laku harus dilihat sebagai rompakan terhadap negara yang menuntut setiap penjawat awam bertindak segera serta berani untuk mencegah kesalahan daripada berakar umbi.
Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) dalam kenyataan berkata, selaku badan pengawasan integriti agensi penguatkuasaan, EAIC menyeru persepsi umum terhadap rasuah perlu diubah untuk mencerminkan komitmen serius negara terhadap integriti, selaras dengan sasaran peningkatan Indeks Persepsi Rasuah (CPI).
Menurutnya, EAIC menyambut baik perkembangan terbaru CPI yang mencatatkan Malaysia pada skor 52 mata dan kedudukan ke-54 dunia.
"Bagi merealisasikan sasaran 25 negara teratas menjelang 2033, EAIC menegaskan usaha reformasi perlu bermula dengan tindakan yang kredibel dan memberi impak nyata, bukan sekadar keputusan atau persetujuan di peringkat dasar.
"Ini menuntut pihak berkuasa dan ketua jabatan untuk lebih terbuka dan sanggup mengambil tindakan yang mungkin tidak popular.
"Ini termasuk melaksanakan syor tatatertib dan menyingkirkan pegawai yang korup sebagai langkah tegas bagi menegakkan integriti serta akauntabiliti institusi," katanya pada Rabu.
Tambah EAIC, pihaknya menyahut baik penekanan Transparency International Malaysia (TI-M) mengenai keperincian reformasi institusi dan perundangan termasuk penubuhan Ombudsman Malaysia yang harus dirancang dan dilaksanakan dengan teliti tanpa sebarang kelompangan, berkesan serta memberi manfaat sebenar yang lebih tinggi berbanding agensi sedia ada.
Jelasnya, selaku Ketua Peneraju Focus Group Penguatkuasaan di bawah Pasukan Petugas Khas CPI, EAIC akan terus melaksanakan usaha dan mekanisme bagi memperkukuh integriti dan akauntabiliti agensi penguatkuasaan.
"EAIC percaya bahawa melalui komitmen terhadap tindakan nyata dan tadbir urus yang teguh, Malaysia mampu mencapai kedudukan 25 teratas CPI dan meneguhkan keyakinan rakyat terhadap integriti negara," ujarnya.
Sebelum itu, laporan media pada Selasa melaporkan
Kedudukan Malaysia dalam CPI 2025 menunjukkan peningkatan apabila berada di tangga ke-54 berbanding ke-57 pada tahun sebelumnya.
Berdasarkan CPI 2025 yang diumumkan TI-M, Malaysia juga mencatatkan skor 52 mata, meningkat daripada 50 mata bagi 2024 dan 2023.
Presiden TI-M, Raymon Ram dilaporkan berkata, ia berdasarkan 13 kajian dan penilaian pakar yang mengukur persepsi tahap rasuah sektor awam di 182 negara serta wilayah di seluruh dunia.
Ringkasan AI
- Persepsi rasuah harus dilihat sebagai rompakan terhadap negara
- EAIC menyeru perubahan persepsi rasuah untuk mencerminkan integriti negara
- Malaysia mencatatkan skor 52 mata dan kedudukan ke-54 dunia dalam CPI terbaru
- EAIC menyokong usaha reformasi dan tindakan tegas menentang rasuah
- Komited untuk mencapai kedudukan 25 teratas CPI menjelang 2033
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
