Cubaan seludup hampir 100 tan beras gagal, nilai rampasan cecah RM1.06 juta

BUKIT KAYU HITAM – Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) berjaya menggagalkan cubaan menyeludup hampir 100 tan beras di pintu masuk Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam di sini pada Selasa.
Komander AKPS Bukit Kayu Hitam, Senior Asisten Komisioner Mohd Nasaruddin M Nasir berkata, rampasan itu dilakukan hasil maklumat risikan yang membawa kepada pemeriksaan ke atas dua buah treler sekitar jam 4 petang.
Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati sejumlah besar beras disembunyikan di dalam kedua-dua kenderaan berkenaan tanpa sebarang pengisytiharan atau ikrar kepada pihak Kastam.
“Anggaran kuantiti beras yang ditemui adalah sebanyak 49,950 kilogram (kg) bagi setiap kontena, menjadikan jumlah keseluruhan 99,900kg yang dipercayai cuba diseludup masuk ke negara ini,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Akta Kawalan Padi dan Beras 1994 (Akta 522) di bawah Seksyen 20 dan Seksyen 21 yang melibatkan kuasa rampasan serta pelucuthakan.
Tambahnya, keseluruhan beras yang ditemui telah dirampas, manakala dua treler turut disita bagi tujuan siasatan lanjut.
“Nilai rampasan beras dianggarkan sebanyak RM639,400, manakala nilai sitaan dua buah treler pula dianggarkan RM420,000, menjadikan jumlah keseluruhan rampasan dan sitaan mencecah RM1.06 juta,” jelasnya.
Menurut Mohd Nasaruddin, kes berkenaan akan diserahkan kepada pihak Kawalselia Padi dan Beras Negeri Kedah untuk tindakan lanjut.
Beliau menegaskan, kejayaan rampasan itu membuktikan komitmen dan kesungguhan AKPS bersama agensi penguatkuasaan lain dalam membanteras aktiviti penyeludupan barangan kawalan di pintu masuk negara.
Ringkasan AI
- Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan berjaya menggagalkan cubaan menyeludup hampir 100 tan beras di Bukit Kayu Hitam
- Rampasan dilakukan berdasarkan maklumat risikan dengan pemeriksaan ke atas dua buah treler
- Beras yang ditemui tidak diisytiharkan kepada pihak Kastam, dengan jumlah keseluruhan 99,900kg
- Kes disiasat mengikut Akta Kawalan Padi dan Beras 1994 dengan beras dan dua treler disita
- Nilai rampasan dan sitaan mencecah RM1.06 juta, kes akan diserahkan kepada Kawalselia Padi dan Beras Negeri Kedah
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

